Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 06 MEI 2021 : Penularan berita di media sosial berkenaan kemasukan pesakit COVID-19 dari luar Pahang ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) adalah tidak benar.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah berkata setakat ini tiada pesakit dari luar negeri Pahang ditempatkan di HTAA.
“Adalah dimaklumkan, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan (HTAA) hanya menempatkan pesakit-pesakit COVID-19 yang didiagnos di Negeri Pahang.
“Sehingga hari ini, seramai 44 pesakit COVID-19 dirawat di HTAA dengan Bed Occupancy Rate adalah 38 peratus. Daripada 44 pesakit, lapan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Jumlah kemasukan pesakit ke Unit Rawatan Rapi HTAA bagi minggu ini telah meningkat hampir dua kali kali ganda daripada biasa,” katanya.
Beliau berkata analisa trend bilangan pesakit di negeri ini menunjukkan peningkatan dalam tempoh dua minggu kebelakangan dengan purata 44 kes sehari.
“…analisa tren bilangan pesakit di Negeri Pahang menunjukkan peningkatan dalam tempoh dua minggu ini di mana terdapat 622 kes dilaporkan dengan purata 44 kes sehari.
“Peningkatan ini berlaku terutamanya di Daerah Kuantan di mana purata kes harian dilaporkan sebanyak 20 kes. Ia melibatkan pelbagai lokaliti di Daerah Kuantan terutamanya di Mukim Kuala Kuantan 1,” katanya.
Beliau juga meminta orang ramai supaya sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dan mengamalkan kehidupan norma baharu.
“Susulan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang menasihatkan masyarakat supaya mematuhi SOP dan mengamalkan kehidupan norma baharu.
“Budaya elakkan 3S (Sesak, Sempit dan Sembang dekat) dan amalkan 3W (Wash,Wear and Warn) perlu dijadikan kebiasaan untuk menghalang penularan COVID-19,” katanya. -PAHANGMEDIA