Oleh: Fansurina Abdullah
KUANTAN, 26 APRIL 2021: Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Negeri Pahang mewujudkan sistem Wajib Taksir Zakat (WTZ) sebagai kemudahan kepada orang ramai khususnya individu yang berpendapatan tetap bulanan.
Pengurus Besar Kanan PKZ Negeri Pahang, YH Dato’ Haji Halidan Md Daud berkata, PKZ telah mula mengumpulkan data daripada sektor kerajaan dan swasta sejak tahun 2018 dan masih diteruskan sehingga kini.
“WTZ ini memudahkan kaedah pengiraan zakat di mana pembayar boleh memasukkan segala data perbelanjaan dan pendapatan bulanan masing-masing dan kaedah potongan gaji diperkenalkan.
“Ini memudahkan pembayar zakat membuat bayaran dengan dua cara iaitu menggunakan borang atau secara atas talian menerusi portal etaksir.zakatpahang.my,” katanya pada Program Bicara Pahang di Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini, hari ini.

Beliau berkata, mereka yang gagal mengisi maklumat data yang diperlukan serta enggan membuat bayaran zakat boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan yang membolehkan mereka dikenakan denda atau dipenjara.
Dalam pada itu, beliau berkata, PKZ juga mewujudkan dana wakaf bagi memberi peluang kepada umat Islam menerusi potongan zakat atau bayaran atas talian serendah RM5.
“Kita ingin memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang berhajat mengeluarkan wakaf sekadar termampu mereka demi kebaikan semua untuk disalurkan kepada pihak memerlukan seperti masjid dan sebagainya,” katanya.
Selain zakat pendapatan dan waqaf, Dato’ Haji Halidan berkata, umat Islam juga diwajibkan membuat bayaran zakat harta jika memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan iaitu hak milik harta, cukup tempoh dan nisab (had minima) mencukupi berdasarkan harga emas semasa seberat 85 gram terkini iaitu RM19,325.
“Zakat harta yang wajib dikeluarkan termasuklah wang simpanan, emas dan perak, perniagaan, ternakan (nisab berbeza berdasarkan jenis ternakan), pertanian dan penempatan,” jelasnya.
Justeru, PKZ telah mewujudkan portal www.ezid.my bagi memudahkan pengiraan sama ada setiap individu itu layak membuat bayaran zakat atau sebaliknya. – PAHANGMEDIA