Liow Soon Hee

SULTAN PAHANG TARIK BALIK GELARAN DATO’ SRI NICKY

KUANTAN, 26 APRIL 2021: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah menitahkan Anugerah Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur yang dikurniakan kepada Dato’ Sri Nicky atau nama sebenarnya Liow Soon Hee ditarik balik dan dibatalkan serta merta.

YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak menerusi kenyataan media menjelaskan, Liow Soon Hee sebelum ini dikurniakan Darjah Sri Sultan Ahmad Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Dato’ Sri dan penarikan darjah tersebut berkuatkuasa 21 April 2021.

Beliau berkata, selain Liow Soon Hee, seorang lagi penerima Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur iaitu Dato’ Liow Wei Loon turut ditarik balik dan dibatalkan.

Liow Wei Loon sebelum ini dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’ dan penarikan darjah tersebut juga berkuatkuasa 21 April 2021.

Dato’ Sri Dr Sallehuddin berkata, kedua-dua individu itu tidak dibenarkan memakai sebarang gelaran yang dikurniakan dan perlu mengembalikan Darjah Kebesaran itu kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang selaras dengan Undang-Undang Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang Negeri Pahang.

Sebelum ini, Polis Johor sedang mengesan seorang ahli perniagaan bergelar Dato’ Sri yang dikehendaki kerana disyaki terbabit dalam sindiket pengubahan wang haram serta jenayah komersil.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pengasas Winner Dynasty Group, Dato’ Sri Nicky Liow Soon Hee, 33, yang beralamat terakhir di Trigon Residence Unit 1009, Puchong, Selangor dikehendaki bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 130V hingga 130ZB Kanun Keseksaan bagi kesalahan kumpulan jenayah terancang.

Polis Johor juga mengadakan operasi dan serbuan di Puchong, Selangor dan menahan 12 individu termasuk seorang lagi yang bergelar Datuk Seri.

Sehingga kini Nicky Liow Soon Hee masih gagal dikesan dan pihak Polis Antarabangsa (Interpol) telah mengeluarkan ‘notis merah’ terhadapnya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download