Borang kebenaran rentas negeri yang dipalsukan oleh suspek.

DUA PELAJAR WANITA DITAHAN, PALSUKAN BORANG RENTAS NEGERI

BENTONG, 21 APRIL 2021: Polis menahan dua pelajar wanita selepas dipercayai memalsukan borang rentas negeri dalam satu pemeriksaan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Tol Bentong di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, kedua-dua pelajar yang berusia 22 tahun itu ditahan dan dipercayai turut memasukkan maklumat palsu mengenai kolej pengajian mereka.

“Dalam pemeriksaan yang dilakukan di SJR itu kedua-dua wanita tersebut dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan.

“Ketika diperiksa dokumen perjalanan rentas negeri kedua-dua wanita itu pihak polis mendapati borang tersebut agak meragukan dan disyaki dipalsukan oleh kedua-dua wanita tersebut.

“Hasil siasatan awal pihak polis percaya cop dan tandatangan ketua polis balai yang meluluskan permit tersebut disyaki palsu dan dipercayai dibuat secara ‘scan’ dan tulisan turut dipinda,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Katanya, pemeriksaan ke atas telefon bimbit milik salah seorang daripada pelajar berkenaan mendapati terdapat salinan borang kosong rentas negeri siap ditandatangani dan dipercayai turut dipalsukan.

“Ujian air kencing ke atas suspek juga mendapati salah seorang daripada mereka positif dadah jenis ganja,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyan 468 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana menggunakan surat palsu yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Tambahnya, bagi seorang suspek yang didapati positif dadah siasatan turut dilakukan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Merbahaya 1952. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds