Ketua Polis Pahang, YDH Dato’ Sri Abd Jalil Hassan ketika hadir pada Mesyuarat Permuafakatan PDRM dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) di Bilik Mesyuarat di Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Kuantan.
PDRM PAHANG BEKERJASAMA DENGAN JPNP BANTERAS SALAH LAKU PELAJAR
Oleh : Fansurina Abdullah Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 21 APRIL 2021 : Polis Pahang bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dalam usaha membanteras salah laku pelajar di seluruh negeri ini.
Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan berkata, salah laku itu termasuklah melanggar undang-undang trafik seperti merempit dan membuat bising.
“Pihak trafik akan turun padang untuk memberi penerangan dan nasihat ke atas salah laku trafik di kalangan pelajar sekolah, memberi peluang pelajar mendapatkan lesen menunggang motosikal dengan bayaran yang murah dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Permuafakatan PDRM dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) di Bilik Mesyuarat di Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, di sini, hari ini.
Ketua Polis Pahang, YDH Dato’ Sri Abd Jalil Hassan dalam sidang media selepas hadir pada Mesyuarat Permuafakatan PDRM dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) di Bilik Mesyuarat di Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Kuantan.
Mesyuarat turut dihadiri Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, Encik Muhammad Rosli Abdul Rahman, semua Pegawai Pendidikan Daerah dan Ketua Polis Daerah secara maya.
Selain itu, beliau berkata, antara perkara lain yang turut dibincangkan adalah berkenaan penyalahgunaan dadah dan mensasarkan pelajar-pelajar di Felda dengan memastikan unsur-unsur luaran seperti pengedar dadah dikesan dan tidak menembusi sekolah terbabit dan penyelesaian dalaman akan dibuat dengan memberikan penerangan dan penjelasan kepada pelajar terlibat.
Pihak PDRM juga akan menjalankan pemeriksaan terhadap sekolah-sekolah dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan pihak sekolah sendiri.
Selain kesalahan trafik dan dadah, Dato’ Sri Abd Jalil berkata, kebanyakan pelajar juga terlibat dengan salah laku seksual dan gangsterism namun jumlahnya adalah terlalu kecil. – PAHANGMEDIA