YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menggunakan jentolak sebagai gimik pada Majlis Pelancaran Dan Pecah Tanah Rancangan Tanah Kelompok Khas (RTKK) Orang Asli Sungai Mok di Perkarangan Surau Kampung Hijrah, Rompin, hari ini.

KERAJAAN PAHANG LANCAR RTK KHAS ORANG ASLI DI SUNGAI MOK

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

ROMPIN, 01 APRIL 2021 : Kerajaan Pahang melancarkan Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Khas Orang Asli yang berkeluasan 146.94 hektar di Kampung Sungai Mok, di sini.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata penubuhan RTKK Orang Asli Sungai Mok ini adalah bagi meningkatkan mutu kehidupan para perserta melalui usaha meningkatkan hasil pendapatan mereka.

“Bagi meningkatkan mutu kehidupan peserta menerusi usaha meningkatkan hasil pendapatan masing-masing, ia mahu dijayakan menerusi projek tanaman kelapa sawit secara komersil.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menanam pokok durian pada Majlis Pelancaran Dan Pecah Tanah Rancangan Tanah Kelompok Khas (RTKK) Orang Asli Sungai Mok di Perkarangan Surau Kampung Hijrah, Rompin, hari ini.

“Selain itu, RTKK ini turut menyediakan peluang pekerjaan kepada peserta dengan menjadikan mereka pekerja, selain turut menganjurkan latihan-latihan keusahawan, kemahiran dan pendidikan bagi manfaat peserta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Dan Pecah Tanah Rancangan Tanah Kelompok Khas (RTKK) Orang Asli Sungai Mok di Perkarangan Surau Kampung Hijrah, di sini.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram; Ketua Unit, Unit Hal Ehwal Orang Asli, YH. Dato’ Muhammad Olian Abdullah; Ahli Parlimen Rompin, YB. Dato’ Sri Hassan Ariffin; Ahli Dewan Negeri (ADN) Muadzam Shah, YB. Ir. Razali Kasim.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan mockup cheque Sumbangan Rumah Adat Kampung Sungai Mok, Rompin kepada Tok Batin kampung itu pada Majlis Pelancaran Dan Pecah Tanah Rancangan Tanah Kelompok Khas (RTKK) Orang Asli Sungai Mok di Perkarangan Surau Kampung Hijrah, Rompin, hari ini.

Beliau berkata permohonan bagi penubuhan RTKK Orang Asli Sungai Mok ini telah diluluskan sejak mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada 20 Februari 2013 lagi.

“Di mana seluas 363.1 ekar atau 146.94 hektar tanah telah diluluskan yang melibatkan 61 peserta dalam kalangan Orang Asli di sini.
 
“Dan permohonan pindaan bagi RTKK ini kemudian diluluskan pada mesyuarat MMK Negeri pada 14 Februari 2018 bersama pelantikan pemaju iaitu Syarikat Endau Plantations Sdn Bhd,” katanya.

Beliau berharap pihak pemaju dapat menjayakan projek kemasyarakatan atau sosio-ekonomi yang penting ini demi kemajuan masyarakat Orang Asli di negeri ini.

Menurut beliau, setakat ini terdapat 13 kampung Orang Asli di tiga daerah di negeri ini iaitu di Rompin, Pekan dan Jerantut yang turut terlibat dengan program RTKK Orang Asli seperti yang ingin dijalankan di Sungai Mok.

“Luas kawasan terlibat ialah 8,568.122 ekar yang bersamaan 3,467.4 hektar, di mana ia melibatkan seramai 1,245 peserta dalam kalangan Orang Asli.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

“Angka-angka ini mungkin masih terlalu kecil jika dibandingkan dengan Rancangan Tanah Felda iaitu seluas 203,011 hektar dan 43,126 peneroka di seluruh Pahang tetapi In Sya Allah, ia akan cuba dipertingkatkan lagi dari masa ke semasa,” katanya.

Kampung Sungai Mok yang dibuka pada 1953 mempunyai jumlah penduduk seramai 625 orang yang terdiri daripada 165 buah keluarga dan dilengkapi dengan bekalan elektrik 24 jam dan bekalan air paip, dan sebuah sekolah iaitu Sekolah Rendah Sungai Mok. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download