Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
ROMPIN, 01 APRIL 2021 : Pembinaan kilang padi baharu di kawasan ini dapat memudahkan para petani terutamanya pesawah dalam menjual hasil tuaian mereka.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata pembinaan Kilang Padi Iktiraf Sepadu Sdn Bhd memberikan satu alternatif kepada para pesawah dalam menjual tuaian mereka.
“Pembinaan kilang padi ini boleh memudahkan petani-petani di sekitar Rompin untuk menjual padi mereka. Jadi mereka ada pilihan boleh menjual kepada kilang padi ini. Kilang padi ini milik swasta dan satu lagi kilang padi yang ada, adalah milik Bernas (Syarikat Padiberas Nasional Bhd). Jadi ada pilihan.
“Dan padi mereka boleh dibeli, dipasarkan dengan secepat mungkin dan mereka mungkin akan dapat harga yang lebih baik. Kalau tidak padi terpaksa beratur di luar, mengambil masa yang panjang untuk dapat dijual sebabnya hanya ada kilang Bernas Rompin sahaja.
“Sekarang mereka boleh jual di sini, di kilang yang sangat besar, yang boleh membeli padi sehingga 100 tan metrik sehari, dan ini antara kilang yang termoden,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan lawatan ke Kilang Padi Iktiraf Sepadu Sdn Bhd pada Majlis Perasmian Kilang Padi ini di Leban Chondong, di sini.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram; Ahli Parlimen Rompin, YB. Dato’ Sri Hassan Ariffin; Ahli Dewan Negeri (ADN) Muadzam Shah, YB. Ir. Razali Kasim.
Beliau berkata pihaknya juga telah meminta syarikat ini mengambil seramai mungkin pekerja tempatan sebagai tenaga kerja di kilang ini.
“Kita minta syarikat ini mengambil seramai mungkin pekerja tempatan kerana pekerja tempatan ini, kalau menurut pengalaman saya, terutamanya kalau musim padi, dia (kilang) akan ambil lebihlah.
“Sebab bila musim padi dia (kilang) jalan 24 jam. Bila off season dia kurang sikit. Dia ada pekerja kontrak dan pekerja tetap.
“Kita mengaanggarkan seramai 100 pekerja akan diperlukan bila tiba musim padi dalam pelbagai peringkat,” katanya.
Menurut beliau lagi, Kerajaan Pahang juga akan memberikan cadangan kepada pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk menggunakan benih padi jenis nuklear di kawasan ini.
“Kita boleh menyarankan sahaja, sebab kita ada MARDI. Yang nuklear tadi, sebab dia punya hasil per hektar adalah sebanyak lapan tan. Bermakna ia sangat baik berbanding dengan sekarang yang secara puratanya empat tan sahaja per hektar.
“Jadi sebaik-baiknya kena guna benih yang baguslah bagi menghasilkan pendapatan yang lebih.
“Jadi saya menyerulah para petani supaya menanam benih padi yang boleh mendapatkan hasil yang baik,” katanya.
Untuk rekod, kilang padi ini telah dibina di atas tanah seluas 3.64 hektar pada akhir tahun 2018 dan mula beroperasi sejak awal tahun lepas. Ia mempunyai keupayaan mengilang padi sebanyak 10 tan metrik sejam dan boleh mengering padi sebanyak 300 tan metrik sehari.
Ia juga mempunyai had maksimum menyimpan padi sebanyak 16,000 tan metrik dan mendapat bekalan padi hasil pembelian daripada seluruh negeri Pahang. Hasil keluaran beras daripada kilang ini adalah bagi pasaran di sekitar negeri ini dan Johor. -PAHANGMEDIA