Penolong Pegawai Daerah Bera, Encik Yamin Hafiz Yusof (kanan) menyerahkan kunci Rumah Rakyat Pahang kepada Saharozi Ismail pada majlis penyerahan kunci rumah itu di Kampung Dato' Sri Hamzah, Kemayan, Bera hari ini.

PEKERJA KILANG PAPAN SEBAK TERIMA RUMAH RRP

Foto: Muhammad Ashraf Hakimi Hashim

BERA, 2 APRIL 2021: Pekerja kilang papan Saharozi Ismail, 43, tidak dapat menahan sebak apabila menerima Rumah Rakyat Pahang di Kampung Dato’ Sri Hamzah, Kemayan, di sini hari ini.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, pendapatannya yang tidak menentu kadang kala menyukarkan perbelanjaan harian mereka lima sekeluarga.

Penolong Pegawai Daerah Bera, Encik Yamin Hafiz Yusof (kanan) menyerahkan kunci Rumah Rakyat Pahang kepada Rafiza Mohd Safar pada majlis penyerahan kunci rumah itu di Kampung Dato’ Sri Hamzah, Kemayan, Bera hari ini.

“Pendapatan saya ikut hari… sehari RM45. Kalau saya sihat ok lah tapi kalau saya tak sihat saya tak dapat kerja tak ada gajilah.

“Sebelum ini kami pernah menyewa rumah tapi bila tuan rumah naikkan sewa kami tak mampu dan terpaksa tinggal di rumah pekerja di kawasan kilang,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas penyerahan kunci rumah RRP.

Ceritanya lagi, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu dia diberitahu telah berjaya mendapat rumah tersebut dan sangat-sangat bersyukur kerana penantian untuk miliki kediaman sendiri telah berakhir.

Saharozi berkata, dia amat berterima kasih kepada Kerajaan Pahang di bawah pentadbiran YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail kerana begitu cakna dengan nasib rakyat yang miskin sepertinya.

Tetamu yang hadir meninjau rumah RRP yang dimiliki oleh Saharozi Ismail di Kampung Dato’ Sri Hamzah, Kemayan, Bera hari ini.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada YB. Dato’ Mohd Fadil Osman (Ahli Dewan Negeri Kemayan) kerana tidak putus-putus membela nasib rakyat di kawasan ini, Pegawai Daerah Bera, Tok Empat (Pengerusi JKKK) dan semua yang terlibat.

“Tak termampu saja untuk membalas jasa mereka ini. Kepada Allah sahaja saya berdoa agar mereka ini diberikan kesihatan dan keberkatan,” katanya.

Seorang lagi penerima, Rafiza Mohd Safar, 50, berkata, dia sangat-sangat berterima kasih dengan kepimpinan negeri dan kawasan ini yang banyak membantunya mendapatkan rumah RRP.

Menurutnya, sebagai ibu tunggal, bukan mudah untuk membesarkan empat anaknya lebih-lebih lagi dua daripada anaknya itu masih lagi bersekolah.

Berasal dari FELDA Bukit Mendi, Triang, Rafiza mengusahakan kedai makan di kampung itu selepas bercarai dengan suaminya.

“Berniaga kedai makan ni pendapatan tak seberapa. Lebih-lebih lagi saya sebelum ini terpaksa menyewa rumah dengan sewa yang agak tinggi juga.

“Dengan pemberian rumah RRP ini saya amat-amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya YAB Menteri Besar Pahang, YB Dato’ Mohd Fadil, Dato’ Pegawai daerah Bera,” katanya.

Pemberian kunci rumah RRP ini telah disampaikan oleh Penolong Pegawai Daerah Bera, Encik Yamin Hafiz Yusof diiringi Ketua Balai Polis Kemayan bersama Penghulu Mukim Triang 1, Encik Khairul Azmee Bukhari dan Pengerusi jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Dato’ Sri Hamzah, Encik Abdul Kader Sulaiman.

Rumah Rakyat Pahang merupakan inisiatif Kerajaan Pahang bagi membantu golongan kurang berkemampuan memiliki kediaman sendiri.

Projek perumahan yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Pahang memperuntukan dua rumah dibina di setiap Dewan Negeri dan satu rumah di setiap Parlimen. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download