FOTO: Mahathir Ali
KUANTAN, 1 APRIL 2021: Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah banyak memainkan peranan dalam menjayakan agenda Kerajaan Pahang sama ada menerusi siaran radio Pahangfm mahupun siaran berita RTM Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pelbagai program dan agenda Kerajaan Pahang telah disampaikan kepada golongan sasar menerusi saluran-saluran RTM sama ada di radio dan televisyen (TV) RTM.

Beliau berkata, pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Peringkat Negeri Pahang bagi dos pertama dan kedua telah pun dibuat liputan penuh oleh siaran radio dan TV RTM dan ia secara tidak langsung memberi kesedaran kepada orang ramai tentang keperluan vaksinasi bagi memutuskan rantaian COVID-19.
“Selain itu, program-program berbantuk agama seperti Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang baru-baru ini telah pun disiarkan secara langsung selama tiga hari di Pahangfm,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun RTM Ke-75 di Kompleks Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Pahang, Encik Arifin Awang; Pengurus Besar Pos Malaysia Negeri Pahang, Encik Mahamad Zulkiply Mohamed Noor; Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Pahang, Puan Rida Suzirawati Muda dan Pengasas Komuniti Menulis Malaysia merangkap Setiausaha Agung Persatuan Penyair Malaysia, Encik Asri Husin.
Beliau berkata, ketika negara dilanda wabak COVID-19, majoriti masyarakat di negara ini mengikuti perkembangan berita dan hebahan daripada media rasmi kerajaan ini.
Menurutnya, RTM setiap hari menyiarkan siaran langsung sidang media berkenaan prosidur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga perkembangan terkini jangkitan COVID-19.
“RTM juga memainkan peranan penting dalam membantu sistem pendidikan negara ketika negara diuji dengan penularan wabak COVID-19.
“Ia menerusi slot TV Pendidikan yang telah disiarkan menerusi saluran TV Okey di mana RTM telah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk menyiarkan rancangan tersebut selama dua jam setiap hari sepanjang tempoh PKP,” katanya.
Pada sambutan itu, turut diadakan pelancaran logo baharu RTM dan logo baharu Pahangfm selain pemeriksaan kesihatan dan juga kempen derma darah.
Pos Malaysia Negeri Pahang juga turut menawarkan perkhidmatan mencetak setem menggunakan gambar peribadi pelanggan dengan mengenakan bayaran RM25. – PAHANGMEDIA