YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menerima suntikan vaksin COVID-19 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Fasa 1, hari ini.
‘ALHAMDULILLAH, TIDAK ADA RASA APA-APA’ – YAB MENTERI BESAR PAHANG
Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 26 FEBRUARI 2021: Alhamdulillah, seikhlasnya tidak ada rasa apa-apa… Kalau isteri cubit lagi sakit,” itu kata YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini.
Beliau antara 115 individu yang menerima suntikan vaksin COVID-19 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Fasa 1, hari ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail
Menurut Dato’ Sri Haji Wan Rosdy, beliau masih sihat selepas disuntik vaksin COVID-19 bersama isterinya, Datin Sri Dato’ Burhah Mohamed.
“Bagi diri saya, tidak berasa apa-apa. Justeru saya menyeru kepada rakyat Pahang supaya menerima suntikan vaksin yang diberi percuma oleh kerajaan ini.
“Saya juga dimaklumkan ada kemungkinan akan wujud sekatan-sekatan tertentu terhadap mereka yang tidak menerima suntikan vaksin, dalam membuat urusan seharian dengan pihak-pihak berkenaan pada masa hadapan.
“Misalnya di luar negara, telah ada ura-ura kemungkinan warganegara luar yang hendak memasuki negara-negara tersebut, perlu menunjukkan bukti mereka telah menerima suntikan sebelum dibenarkan memasuki atau melancong ke negara berkenaan,” katanya selepas menerima suntikan COVID-19 hari ini.
Antara yang turut menerima suntikan vaksin COVID-19 hari ini adalah YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Salehuddin Ishak, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman, Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH Dato’ Dr Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Che Awang Ngah dan Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abdul Jalil Hassan.
Sementara itu, beliau juga mengingatkan kepada golongan anti-vaksin kerana mereka boleh disiasat mengikut Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun, atau denda, atau kedua-dua sekali.
Dalam pada itu, pihaknya menjangkakan kesemua kira-kira 1.12 juta rakyat Pahang atau sasaran 70 peratus daripada keseluruhan 1.67 juta penduduk negeri ini, bakal divaksin sebagai usaha membendung penularan wabak pandemik COVID-19 menjelang Februari 2022.
“Di bawah FASA 1 melibatkan ‘frontliners’ seramai 32,175 orang, Fasa 2 melibatkan lebih 360,000 orang dalam kalangan mereka berisiko tinggi seperti warga emas 60 tahun dan ke atas dan golongan berpenyakit kronik.
“Di bawah Fasa 3 melibatkan lebih 700,000 individu 18 tahun dan ke atas pula, suntikan vaksin bagi mereka akan bermula Mei ini hinggalah Februari 2022,” jelasnya.
Katanya lagi, masyarakat Orang Asli pula akan menerima suntikan vaksin ini pada bulan Ogos ini dengan bantuan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). – PAHANGMEDIA