Oleh: Fairus Mohd
Foto: Mahathir Ali
PEKAN, 26 FEBRUARI 2021: Pengalaman terpaksa tinggal di rumah rakit selama lima tahun untuk meneruskan kehidupan sambil mencari rezeki menjaga sangkar ikan patin di Sungai Pahang berdekatan Kampung Sungai Duri di sini tidaklah begitu Indah.
Namun siapa sangka, kehidupan sukar yang dilalui Encik Zaimi Ishak, 55, kembali bersinar apabila dia terpilih untuk memiliki Rumah Rakyat Pahang (RRP) di bawah Dewan Negeri (DN) Chini.
Menurut bapa kepada tujuh anak ini, dia dan isteri tinggal di rumah rakit manakala anak-anak yang sudah semakin besar dan telah berkahwin berpindah mengikut keluarga masing-masing.
“Tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan syukur dan gembira saya serta isteri, Nora Abdul Malik, 49, atas pemberian rumah daripada Kerajaan Negeri kepada kami ini.
“Terima kasih Menteri Besar Pahang yang mengemudi Kerajaan Negeri, wakil rakyat serta pemimpin setempat yang prihatin dengan kehidupan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini.
Penyerahan RRP di Kampung Salong dan Kampung Mempelas disempurnakan oleh Ahli Dewan Negeri Chini, YB Encik Sharim Md Zain.

Turut hadir, Pegawai Daerah Pekan, YH Dato’ Zaliza Zulkefli, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Perumahan, Encik Azrul Bakhtiar; Penolong Pegawai Daerah, Puan Nur Shamimi Che Anuar; wakil Pejabat Pertanian Daerah Pekan serta pemimpin setempat.
Sementara itu, penerima RRP di Kampung Mempelas, Norsyahida Mohd Bakri, 32, turut menzahirkan rasa syukur dengan pemberian rumah untuk dia dan suami, Mohd Saharuddin Hamidun, 40, serta seorang anaknya berteduh.
“Rumah RRP ini memang sinar baru bagi kami memulakan hidup apatah sebelum ini setiap kali banjir besar rumah pusaka arwah tok pasti dinaiki air.
“Saya sangat gembira kerana akhirnya dapat menjalani hidup bersama keluarga di rumah sendiri di kawasan tinggi dah selamat serta tidak perlu berpindah lagi. Terima kasih Menteri Besar Pahang, Kerajaan Negeri serta YB yang membantu kami sehingga dapat memiliki rumah ini,” katanya.
Dalam pada itu, YB Encik Mohd Sharim berkata, usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Pahang melalui ilham Menteri Besar Pahang telah memberi harapan dan sinar baru kepada rakyat yang memerlukan.
Beliau berkata, usaha yang dilakukan Kerajaan Negeri kini mampu memastikan Pahang bergerak lebih maju dan sentiasa mampu menyediakan keselesaan kepada rakyatnya.
“Sebagai contoh, Rumah Rakyat Pahang diserahkan kepada rakyat yang tidak mampu seperti berdaftar dengan e-Kasih sekaligus meringankan beban yang ditanggung mereka selama ini.-PAHANGMEDIA