YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Salehuddin Ishak enerima suntikan vaksin COVID-19 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Fasa 1, hari ini.

VAKSIN COVID-19 TELAH JALANI UJIAN KLINIKAL, ORANG RAMAI JANGAN BIMBANG

Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 26 FEBRUARI 2021: Orang ramai tidak perlu bimbang atau takut untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 kerana ia telah melalui proses klinikal yang terperinci sebelum diagihkan kepada orang ramai.

YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Salehuddin Ishak berkata, semua ubatan dan vaksin yang berada di pasaran telah melalui proses yang sama sebelum diberikan kepada pesakit bagi memastikan ianya benar-benar selamat dan tiada kesan sampingan.

“Semua jenis ubat telah melalui ujian klinikal dengan jumlah sampel yang sepatutnya, bukan sahaja vaksin ini, termasuklah semua ubat seperti panadol atau apa-apa ubat, semua itu telah melalui ujian klinikal.

“Jadi, semestinya negara-negara pengeluar ubat ini akan memastikan ia benar-benar, baru dikeluarkan kepada masyarakat, jika proses ubatan itu selamat maka samalah dengan vaksin ini juga,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman, turut menerima suntikan vaksin COVID-19.

Beliau berkata demikian selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 pada Program Imunisasi Covid-19 Negeri Pahang, di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, petang tadi.

Dalam pada itu, Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abdul Jalil Hassan berkata, beliau akan memastikan bahawa kesemua pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) seluruh Pahang akan menerima suntikan vaksin COVID-19 ini.

“Saya menyeru pegawai dan anggota saya supaya menerima suntikan ini kerana sebagai barisan hadapan dalam menjaga keselamatan orang ramai terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dilaksanakan, vaksin amat diperlukan oleh mereka semua.

“Kepada orang awam pula, jangan khuatir terhadap vaksin ini kerana saya sendiri telah melaluinya dan tiada sebarang alahan mahu pun pening dan tidak sakit selepas menerima suntikan terbabit dan vaksin ini penting sebagai benteng diri daripada wabak terbabit dalam mengharungi norma baharu ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pahang, YBhg Encik Zairasyahli Shah Zakaria berkata, suntikan dos pertama yang diterima adalah sama dengan suntikan lain dan kesannya juga tiada atau hampir tiada kesan seperti yang diceritakan netizen.

“Alhamdulilah, keadaan saya sangat baik selepas menerima suntikan dan tiada sebarang alahan mahu pun tindak balas yang negatif selepas suntikan.

“Saya menyeru orang ramai supaya bersedia menerima vaksin COVID-19 ini dan jangan takut kerana pemberian vaksin ini adalah demi keselamatan semua,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download