Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 27 NOVEMBER 2026 : Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sama ada daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang, diseru mengetepikan perbezaan politik dan terus berganding bahu menyumbang kepada pembangunan serta masa depan Pahang.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail menekankan bahawa walaupun setiap pihak mempunyai pendekatan dan pandangan yang berbeza, namun semua wakil rakyat tetap berkongsi tanggungjawab terhadap negeri yang sama, iaitu Pahang Darul Makmur.
Menurut beliau, Negeri Pahang bukan sekadar tempat kelahiran, malah menjadi tempat rakyat mencari rezeki, membina kehidupan serta membesarkan generasi akan datang.
“Namun, di sebalik segala perbezaan itu, kita berkongsi sebuah negeri yang sama, iaitu Pahang Darul Makmur.
“Di sinilah tempat kita dilahirkan, meningkat dewasa, mencari rezeki dan membina kehidupan. Di sinilah juga tempat anak-anak kita membesar dan akan meneruskan kehidupan mereka,” katanya.
Beliau turut mengumpamakan pembangunan negeri seperti membina sebuah rumah yang memerlukan kerjasama dan tanggungjawab semua penghuninya, bukannya saling mencari kesalahan.
“Sebuah rumah yang baik tidak akan terbina jika penghuninya hanya tahu mencari kesalahan antara satu sama lain.
“Manakala rumah yang baik pula memerlukan semua penghuninya memainkan peranan, saling menjaga dan bertanggungjawab terhadap masa depannya. Begitulah juga dengan negeri ini,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau mengajak semua ADUN untuk terus memberikan sumbangan terbaik demi kepentingan rakyat tanpa menjadikan perbezaan politik sebagai penghalang kepada usaha memajukan negeri ini.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

