Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 27 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang berjaya mencapai sasaran menyelesaikan 90 peratus masalah kawasan blackspot bekalan air menjelang akhir tahun ini menerusi usaha berterusan bersama Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, pencapaian berkenaan membuktikan keberkesanan tindakan penyelesaian yang dilaksanakan secara terancang dalam menangani aduan rakyat, khususnya berkaitan gangguan bekalan air dan tekanan air rendah.
Bagaimanapun, beliau berkata Kerajaan Negeri tidak menganggap isu bekalan air selesai sepenuhnya memandangkan masalah paip pecah, kebocoran serta kerosakan paip usang masih berpotensi berlaku.
“Alhamdulillah, sasaran menyelesaikan 90 peratus masalah blackspot bekalan air menjelang akhir tahun 2026 telah berjaya dicapai.
“Pencapaian ini membuktikan usaha yang dilaksanakan telah memberi kesan positif kepada rakyat. Namun, kita tidak boleh menganggap masalah bekalan air telah selesai sepenuhnya kerana isu paip pecah, kebocoran dan kerosakan paip usang masih boleh berlaku,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri menyasarkan penurunan kehilangan air terawat (NRW) pada kadar 39.5 peratus menjelang tahun 2030 penggantian paip-paip usang, khususnya di kawasan yang kerap mengalami gangguan bekalan air.
“Melalui kerjasama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), PAIP akan melaksanakan penggantian paip jenis Asbestos Cement (AC) sepanjang 607.3 kilometer yang dikenal pasti usang dan kritikal serta mempunyai kadar kejadian paip pecah yang tinggi.
“Usaha ini bukan sahaja dapat mengurangkan gangguan bekalan, malah membantu mengurangkan kehilangan air terawat atau Non-Revenue Water (NRW).
“Untuk makluman, kadar Non-Revenue Water di Pahang pada tahun 2024 adalah 48.6 peratus dan berkurangan pada tahun 2025 pada kadar 47.5 peratus,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri komited dalam memastikan rakyat negeri ini dapat menikmati sistem bekalan air yang cekap, stabil dan mampan untuk jangka panjang.
“Pada masa yang sama, pembangunan sumber dan sistem bekalan air baharu akan terus diperkukuh bagi memastikan kapasiti bekalan mencukupi dan tekanan air lebih stabil.
“Matlamat kita bukan sekadar menyelesaikan gangguan hari ini, tetapi memastikan rakyat Pahang menikmati sistem bekalan air yang cekap, stabil dan mampan untuk jangka panjang.
“Insya-Allah, komitmen ini akan terus diterjemahkan melalui tindakan dan hasil yang dapat dirasai oleh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

