Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 27 NOVEMBER 2026 : Sebanyak lima syarikat komited untuk melabur di pusat-pusat pertumbuhan baharu sepanjang jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Pahang, dengan 60 peratus penyertaan membabitkan syarikat anak Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, daripada jumlah itu, tiga syarikat dikategorikan sebagai pemaju utama, iaitu KotaSAS Sdn. Bhd., Pahang Aerospace City Development Berhad (PACDB) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP).
“KotaSAS Sdn. Bhd. di Stesen ECRL KotaSAS. Pihak pemaju telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) bersama Asia Pac Holding Sdn. Bhd. bagi pembangunan pusat beli-belah dan presint lot kedai gaya hidup yang dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.
“Pahang Aerospace City Development Berhad (PACDB) di Stesen ECRL Cherating, di mana pembangunan Pahang Aerospace City kini masih dalam proses mengenal pasti pelabur yang berpotensi bagi industri aeroangkasa, perbandaran, komersial, pelancongan serta pusat persidangan dan konvensyen (MICE).
“Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) di sepanjang jajaran ECRL. Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) terlibat dalam usaha membangunkan skim Pangsapuri PahangKu di pusat-pusat pertumbuhan baharu sepanjang jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata, dasar Pangsapuri PahangKu merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi menyediakan perumahan mampu milik menerusi skim sewaan dan jualan dengan memberi keutamaan kepada rakyat Pahang.
“Rakyat Pahang yang memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan, antaranya pendapatan isi rumah tidak melebihi RM7,000 sebulan, keutamaan kepada mereka berumur 40 tahun ke bawah serta telah menetap di Negeri Pahang sekurang-kurangnya lima tahun.
“Jenis A iaitu skim sewaan dengan kadar tidak melebihi RM500 sebulan yang menawarkan unit berkeluasan 700 kaki persegi; dua bilik tidur; dan dua bilik air; jenis B iaitu skim jualan dengan harga tidak melebihi RM200,000 seunit yang menawarkan unit berkeluasan 900 kaki persegi; tiga bilik tidur; dan dua bilik air,” katanya.
Menurut beliau, penyertaan syarikat anak Pahang dalam kategori pemaju utama adalah 100 peratus, manakala bagi keseluruhan projek pula, penyertaan syarikat anak Pahang adalah sebanyak 60 peratus.
Bagi kategori pelabur swasta, Perodua merancang pembangunan hab logistik kenderaan di atas tanah seluas 8.9 hektar (22 ekar) berhampiran Stesen ECRL Paya Besar bagi menyokong pengedaran kenderaan menggunakan perkhidmatan ECRL.
Tambah beliau, PKNP Fire Phoenix Data Center Sdn. Bhd. pula sedang membangunkan Pusat Data Kecerdasan Buatan (AIDC) di Pahang Technology Park, Gambang, yang memperoleh kelulusan penuh Kebenaran Merancang pada 18 September 2026.
Projek dengan nilai pelaburan kira-kira RM411 juta itu dijangka mewujudkan 300 peluang pekerjaan merangkumi fasa pembinaan hingga pengoperasian.
Kerajaan Negeri akan terus menggalakkan penyertaan syarikat tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan negeri dalam pembangunan pusat-pusat pertumbuhan baharu sepanjang jajaran ECRL bagi merancakkan pelaburan, menjana peluang pekerjaan serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi Pahang. -PAHANGMEDIA

