Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 27 NOVEMBER 2026 : Penguasaan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 di Pahang dalam empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah mencatatkan peningkatan lebih 60 peratus dalam tempoh kurang setahun.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak berkata, peratusan murid yang memperoleh sekurang-kurangnya Gred C dalam keempat-empat mata pelajaran berkenaan meningkat daripada 14.76 peratus pada awal tahun kepada 23.73 peratus dalam Peperiksaan Percubaan SPM 2026.
Menurutnya, pencapaian itu menunjukkan peningkatan berterusan apabila peratusan berkenaan mencatatkan 19.18 peratus pada pertengahan tahun, manakala Kerajaan Negeri menyasarkan pencapaian 47.44 peratus dalam SPM 2026.
“Dalam Peperiksaan Percubaan SPM 2026, Pahang berada di tempat pertama daripada 16 negeri bagi mata pelajaran Sejarah dan Biologi, kelima bagi Sains, keenam bagi Bahasa Melayu, Matematik dan Kimia serta ketujuh bagi Fizik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB Dato’ Mohd Sharim Haji Md Zain pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Dalam usaha merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar, beliau berkata, perbezaan Gred Purata SPM antara kedua-dua kawasan itu mengecil daripada 0.53 pada awal tahun kepada 0.37 dalam Peperiksaan Percubaan SPM 2026, mencatatkan penurunan kira-kira 30 peratus.
“Perubahan bagi peratus calon yang layak mendapat sijil lebih ketara. Pada awal tahun, murid luar bandar ketinggalan hampir enam mata peratusan berbanding rakan mereka di bandar.
“Hari ini, jurang itu tinggal hanya 1.2 mata peratusan. Murid luar bandar melonjak hampir 14.5 mata peratusan, lebih pantas berbanding murid bandar. Dengan kata lain, anak-anak kita di luar bandar bukan sekadar mengejar. Mereka sudah hampir berdiri sama tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, semua sekolah di Pahang termasuk di kawasan pedalaman kini menikmati kemudahan peranti murid dan capaian internet dengan liputan 100 peratus.
Sebahagian besar sekolah menggunakan sambungan gentian optik, manakala sekolah di kawasan paling pedalaman dihubungkan menerusi satelit.
Menurutnya, lebih 166,000 murid daripada 740 sekolah turut menjadi pengguna aktif platform pembelajaran digital Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), DELIMA sepanjang tahun ini.
“Kadar penggunaan di bandar ialah 60.47 peratus berbanding 56.64 peratus di luar bandar, manakala peratusan sekolah yang mencatat penggunaan aktif melebihi separuh murid adalah sama bagi kedua-dua kawasan iaitu 67.3 peratus,” katanya.
Kerajaan Negeri turut meluluskan peruntukan RM2.53 juta bagi Majlis Insentif SPM, STPM dan STAM yang melibatkan 2,299 pelajar cemerlang.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan pencapaian SPM 2026, merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar serta memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris dan Matematik Tambahan.
“Kerajaan Negeri berpegang pada satu keyakinan, pendidikan yang baik adalah hak setiap anak Pahang. Ia bukan keistimewaan mereka yang kebetulan tinggal di bandar.
“Sama ada seorang anak itu bersekolah di Kuantan, Lipis, Jerantut atau Rompin, peluangnya untuk berjaya mestilah sama,” katanya. -PAHANGMEDIA

