Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 27 NOVEMBER 2026 : Sebuah jambatan baharu empat lorong mengikut piawaian U5 bakal dibina di Kampung Alor Ladang, di sini, bagi menggantikan jambatan sedia ada yang uzur dan sempit, selain menangani masalah banjir yang kerap berlaku di kawasan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, projek berkenaan telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dengan siling peruntukan sebanyak RM25.1 juta.
Menurutnya, projek menaik taraf pembentung kepada jambatan di Seksyen 368.10, Jalan Kuantan-Pelabuhan Kuantan (FT02) itu turut melibatkan penggantian empat unit pembentung bersaiz 900 milimeter (mm) kepada pembentung baharu berukuran 6 x 3 meter.
Katanya, kerja menaik taraf itu penting bagi menangani masalah banjir yang kerap berlaku berikutan kapasiti pembentung sedia ada yang kecil dan tidak mampu menampung jumlah aliran air yang banyak.
“Kawasan yang dimaksudkan ini memang dikenal pasti sebagai kawasan yang sering berlaku banjir dan isu di situ ialah ia satu pembentung. Pembentung bersaiz 900 mm, 900 mm ini lebih kurang tiga kaki, ada empat buah pembentung di situ.
“Dan isunya, bersaiz kecil, jumlah ‘volume’ air yang banyak dan pembentung itu kadang-kadang tersekat dengan sampah sarap dan kayu, sebagainya, jadi merupakan punca gangguan aliran air dan menyebabkan ia tidak terisi sepenuhnya dan menyebabkan banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, YB Dato’ Haji Andansura Rabu pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Tambahnya, keadaan jambatan sedia ada yang uzur dan sempit turut menjadi antara faktor pelaksanaan projek berkenaan bagi menyediakan kemudahan infrastruktur jalan raya yang lebih baik.
Projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia itu melibatkan kerja merobohkan empat unit pembentung dan jambatan lama sebelum pembinaan struktur baharu dilaksanakan.
Menurutnya, projek berkenaan kini dalam proses reka bentuk dan dijangka diiklankan pada 27 April, manakala Surat Setuju Terima (SST) dijangka dikeluarkan pada Ogos 2027 dengan tempoh pembinaan dianggarkan selama 20 bulan. -PAHANGMEDIA

