Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 27 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM500,000 bagi memperkasa Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Taman Guru, Kuantan sebagai sebuah PPDK inklusif yang bakal menjadi penanda aras penyediaan perkhidmatan pemulihan berkualiti kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Hajah Sabariah Saidan berkata, peruntukan menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2027 itu akan digunakan bagi menaik taraf kemudahan pemulihan dan terapi supaya lebih lengkap, kondusif serta memenuhi keperluan peserta OKU.
“Kerajaan Negeri Pahang melalui Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2027 turut menyediakan peruntukan khusus berjumlah RM500,000.00 bagi tujuan pemerkasaan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Taman Guru, Kuantan.
“Peruntukan ini merupakan manifestasi komitmen dan sokongan Kerajaan Negeri dalam menaik taraf kemudahan pemulihan dan terapi bagi meningkatkan kesejahteraan serta mengoptimumkan potensi anak-anak OKU.
“Menerusi inisiatif ini, PPDK Taman Guru disasarkan menjadi sebuah PPDK inklusif yang dapat dijadikan penanda aras dalam penyediaan perkhidmatan pemulihan yang berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, YB Dato’ Haji Abd Aziz Haji Mat Kiram pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM450,000 menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2027 bagi menyediakan bantuan secara sekali bayar (one-off) sebanyak RM10,000 kepada pusat jagaan yang memenuhi syarat kelayakan, termasuk PPDK dan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE).
“YAB Menteri Besar Pahang pada 20 November 2026, turut menyediakan bantuan secara one-off sebanyak RM10,000.00 kepada pusat jagaan, termasuk Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan/atau Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, tertakluk kepada syarat kelayakan yang ditetapkan. Inisiatif ini melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM450,000.00,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri turut menyalurkan insentif berjumlah RM557,500 kepada peserta OKU, penyelia dan petugas PPDK di seluruh Pahang.
“Seramai 1,390 peserta OKU yang mengikuti program pemulihan di 55 PPDK seluruh Pahang menerima insentif RM300 seorang dengan jumlah keseluruhan RM417,000, manakala 281 penyelia dan petugas PPDK menerima RM500 seorang membabitkan peruntukan RM140,500.
“Pemberian ini merupakan manifestasi keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menghargai serta mengiktiraf komitmen peserta OKU, penyelia dan petugas PPDK,” katanya. -PAHANGMEDIA

