Oleh: Syafiqah Jamaluddin
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 25 NOVEMBER 2026 : Pemilihan penerima tanah di Kampung Bolok Hilir, Lanchang dilaksanakan berdasarkan penelitian jawatankuasa dengan mengambil kira kelayakan, status pemilikan tanah pemohon serta pengesahan pemimpin setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, proses pemilihan itu diteliti bersama Pejabat Daerah dan Tanah, penghulu serta pemimpin setempat bagi memastikan penerima memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Menurut beliau, sebahagian individu yang tidak terpilih merupakan peneroka FELDA yang telah memiliki tanah seluas 10 ekar di kawasan rancangan seperti FELDA Bukit Damar dan FELDA Lakum.
“Jadi orang tempatan, orang kampung, mungkin dia tak duduk di Bolok, mungkin dia duduk di bandar Lanchang, pekan Lanchang. Mungkin dia duduk dekat Kemboja, tapi dia tetap orang Lanchang dan dia tetap anak asal daripada Bolok,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberikan maklum balas terhadap isu pengagihan tanah yang dibangkitkan ADUN Lanchang, YB Tuan Hassan Omar pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Kerajaan Negeri turut mengambil kira status pemilikan tanah pemohon bagi memastikan pengagihan dilaksanakan secara adil, khususnya kepada mereka yang masih belum memiliki tanah.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan kawasan tanah terbiar di rancangan FELDA dicadangkan untuk disusun semula menerusi kaedah Skim Tanah Rakyat (STR) bagi memberi peluang kepada generasi kedua FELDA yang layak mengusahakan tanah berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, situasi di Kampung Bolok Hilir berbeza kerana kebanyakan individu yang tidak terpilih merupakan peneroka FELDA yang telah memiliki tanah sendiri. – PAHANGMEDIA

