Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 25 NOVEMBER 2026 : Sebanyak 1,186 aduan berkaitan transaksi perdagangan elektronik (e-dagang) direkodkan di Pahang bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 16 November 2026, dengan isu barangan tidak diterima mencatatkan jumlah aduan tertinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB Tuan Sim Chon Siang berkata, berdasarkan statistik Sistem e-Aduan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), sebanyak 446 aduan atau 37.6 peratus melibatkan pengguna yang tidak menerima barangan selepas membuat pembayaran.
“Jumlah aduan menunjukkan trend penurunan daripada 424 aduan pada tahun 2023 kepada 205 aduan pada tahun 2025. Walau bagaimanapun, jumlah tersebut meningkat kepada 268 aduan sehingga 16 November 2026, iaitu pertambahan sebanyak 63 aduan atau 30.7 peratus berbanding jumlah keseluruhan tahun 2025.
“Dari segi taburan cawangan, Kuantan mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 595 aduan (50.2%), diikuti Temerloh sebanyak 207 aduan (17.5%), Raub sebanyak 160 aduan (13.5%), Jerantut sebanyak 121 aduan (10.2%), Bera sebanyak 52 aduan (4.4%) dan Rompin sebanyak 51 aduan (4.3%),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, YB Dato’ Sri Shafik Fauzan Sharif pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau, antara aduan yang lazim diterima melibatkan barangan tidak diterima, barangan tidak seperti diiklankan, iklan dan tawaran mengelirukan serta masalah bayaran balik dan pemulangan barangan.
“Ia termasuk isu perkhidmatan tidak memuaskan, kelewatan penghantaran, kegagalan penjual memberikan maklum balas dan pertikaian berkaitan urus niaga digital,” katanya.
Dalam usaha melindungi pengguna, KPDN Pahang menyediakan beberapa saluran aduan rasmi termasuk portal e-Aduan KPDN, WhatsApp, pusat panggilan dan aplikasi Ez ADU bagi membolehkan tindakan serta siasatan dijalankan, selain mendapatkan penyelesaian melalui Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).
Katanya, KPDN Pahang turut mempergiat program pendidikan dan advokasi kepenggunaan menerusi ceramah, pameran, program turun padang serta hebahan di media sosial bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap risiko penipuan dalam talian.
Usaha itu turut diperkukuh menerusi kerjasama strategik bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Bank Negara Malaysia serta Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).
Tambah beliau, tumpuan turut diberikan kepada usaha meningkatkan tanggungjawab pengendali platform dan peniaga dalam talian, khususnya dalam memperkukuh mekanisme aduan dan bayaran balik serta mempercepat tindakan terhadap akaun yang melanggar peraturan. – PAHANGMEDIA

