Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 NOVEMBER 2026 : Pengurusan FELDA terus memperketat kawalan keselamatan di kawasan rancangan menerusi pelbagai langkah proaktif bagi membendung kegiatan kecurian buah kelapa sawit, sekali gus mengelakkan kerugian kepada peneroka dan FELDA.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam berkata, langkah tersebut penting bagi menangani ketirisan hasil yang masih berlaku di beberapa rancangan, khususnya di kawasan berisiko tinggi.
“Sehubungan itu, antara beberapa langkah yang telah dilaksanakan di Wilayah Jengka terutama dalam daerah Maran seperti membuat kawalan dan rondaan ladang oleh FELDA Security Services Sdn Bhd (FGVSSSB) di FELDA Jengka 23, Sungai Tekam, Jengka 19 dan Jengka 20.
“Pemasangan drop gate di rancangan di bawah kompleks JPPK Jengka 21 merangkumi Jengka 12, 13, 14, 21, 22, 23, 24 dan 25 melalui dana Jawatankuasa Permuafakatan Produktiviti dan Kualiti (JPPK).
“Mengadakan kawalan dan rondaan oleh masyarakat setempat seperti di FELDA Jengka 21; kerjasama dengan pihak PDRM dengan tangkapan di FELDA Sungai Retang, Jengka 19 dan Bukit Tajau; dan kerjasama dengan pihak MPOB bagi penimbang bersebelahan rancangan yang membeli buah peneroka FELDA di FELDA Sungai Retang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, YB Shahril Azman Abd Halim pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang.
Menurut beliau, usaha pencegahan turut dicadangkan dipergiat menerusi operasi bersepadu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan FELDA, termasuk pemeriksaan pusat timbang serta premis pembelian yang disyaki menerima buah sawit curi.
“Semakan rantaian penjualan, pengesahan identiti penjual dan sumber buah serta pemeriksaan rekod urus niaga perlu diberi perhatian bagi mengenal pasti pihak yang terbabit.
“Penyelarasan perkongsian maklumat dan pemantauan bersama juga perlu diperkukuh supaya tindakan lebih berkesan dapat diambil terhadap individu atau premis yang disyaki terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 1,733 kes kecurian hasil sawit direkodkan di tiga wilayah FELDA di negeri ini sepanjang tahun 2023 hingga 2026, membabitkan 3,013.46 tan hasil dengan nilai keseluruhan kira-kira RM2.29 juta.
Wilayah Jengka mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 1,473 kes, diikuti Wilayah Kuantan sebanyak 197 kes dan Wilayah Mempaga sebanyak 63 kes sepanjang tempoh berkenaan.
Bagi tahun 2026, Wilayah Jengka merekodkan 401 kes kecurian, diikuti Wilayah Kuantan sebanyak 56 kes dan Wilayah Mempaga sebanyak 13 kes. -PAHANGMEDIA

