Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 23 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang bersedia menyediakan bantuan kelengkapan sukan kepada pelari berusia 60 tahun, Encik Ariffin Abdul Manan dari Kampung Baru Jerantut, dalam usaha mengangkat beliau sebagai ikon sukan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, bantuan berkenaan akan diberikan dengan persetujuan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Menurutnya, Pakcik Ariffin yang aktif menyertai acara larian termasuk Trail Run Ironman 70.3km di Langkawi wajar dijadikan inspirasi kepada golongan muda bahawa faktor usia dan kekurangan bukan penghalang untuk bergiat aktif dalam sukan.
“Insya-Allah, Kerajaan Negeri Pahang dengan persetujuan YAB Menteri Besar bersedia membantu menyediakan kelengkapan sukan supaya beliau tidak bersendirian dan boleh menjadi ikon kepada anak muda.
“Dalam keadaan kekurangan, beliau masih boleh terlibat secara aktif dan berjaya menghabiskan acara di Langkawi itu dengan cukup baik sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, YB Tuan Zuridan Mohd Daud pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Negeri turut bercadang melaksanakan projek khas bagi membantu seorang lagi figura sukan dari Jerantut dikenali sebagai Pak Syed, 63, merealisasikan impian mendaki Gunung Everest.
Katanya, Pak Syed yang aktif dalam aktiviti pendakian gunung di dalam dan luar negara memerlukan dana sekurang-kurangnya RM300,000 bagi menjayakan hasrat berkenaan.
“Pak Syed ini memang sangat hebat dalam aktiviti pendakian. Pada usia 63 tahun, beliau sudah merata dunia mendaki gunung.
“Saya juga mahu melaksanakan satu projek khas bersama beliau untuk mengumpul dana sekurang-kurangnya RM300,000 bagi merealisasikan cita-citanya mendaki Gunung Everest,” katanya. -PAHANGMEDIA

