Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 23 NOVEMBER 2026 : Pandangan qadhi dan pegawai agama Islam turut diambil kira dalam proses pertimbangan serta kelulusan penganjuran program berbentuk ekspo dan persembahan hiburan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, penglibatan pihak berautoriti agama itu bertujuan memastikan aspek berkaitan hal ehwal Islam turut diberikan perhatian dalam penganjuran program berkenaan.
Menurutnya, qadhi dan pegawai agama Islam turut diundang menghadiri mesyuarat PBT bagi memberikan nasihat serta pandangan sebelum sesuatu program dipertimbangkan untuk kelulusan.
“Memang ada diundang qadhi dan juga pegawai agama Islam sebagai ahli majlis untuk mendapatkan nasihat dan pandangan bagi meluluskan sesuatu program yang berbentuk ekspo dan persembahan hiburan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, YB Tuan Shahril Azman Abd Halim pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Soalan berkenaan dibangkitkan bagi mendapatkan penjelasan sama ada penganjuran program hiburan dan persembahan pentas di daerah-daerah di Pahang turut mendapatkan nasihat daripada pegawai agama Islam.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff menjelaskan bahawa qadhi sememangnya dilantik sebagai ahli tetap majlis PBT dan dipanggil menghadiri mesyuarat.
Bagaimanapun, katanya, qadhi ketika ini tidak menganggotai jawatankuasa pelesenan secara khusus kerana urusan berkenaan berada di bawah bidang kuasa PBT.
“Memang qadhi ialah ahli tetap majlis dan mereka memang dipanggil menghadiri mesyuarat. Bagi urusan pelesenan, ia terserah kepada pihak PBT. Buat masa sekarang, qadhi tidak berada dalam jawatankuasa pelesenan, tetapi kelulusan pelesenan akan dibawa ke mesyuarat penuh majlis untuk diluluskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan ADUN Cheka, YB Dato’ Sri Haji Tuan Ibrahim Tuan Man yang mencadangkan supaya pegawai agama Islam daerah dilantik sebagai anggota tetap jawatankuasa pelesenan dan bukan sekadar dijemput menghadiri mesyuarat.
Penjelasan itu sekali gus memperincikan peranan qadhi dan pegawai agama Islam dalam memberikan pandangan berkaitan aspek keagamaan, manakala keputusan kelulusan pelesenan kekal di bawah bidang kuasa PBT melalui mesyuarat penuh majlis. -PAHANGMEDIA

