Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUALA LUMPUR, 22 NOVEMBER 2026 : Penganjuran Pahang Showcase menjadi antara platform penting Kerajaan Negeri dalam membantu usahawan tempatan memperluas pasaran produk keluaran Pahang ke peringkat nasional menerusi promosi dan pendedahan di luar negeri.
Inisiatif berkenaan merupakan usaha memperkenalkan produk usahawan Pahang kepada pasaran lebih luas, khususnya di Kuala Lumpur yang menjadi lokasi tumpuan bagi menghimpunkan pelanggan dan pemain industri dari seluruh negara.
Pengerusi Jawatankuasa FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Dato’ Amizar Abu Adam berkata, penganjuran program itu merupakan cetusan idea YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail bagi membawa produk usahawan tempatan menembusi pasaran luar.

“Selain program Eksplorasi Pahang First dan karnival negeri, kita turut membawa produk-produk usahawan keluar dari Pahang bagi mempromosikan produk tempatan kepada pasaran luar,” katanya.
Pahang Showcase edisi kedua yang berlangsung selepas penganjuran pertama di Medan MARA, Kuala Lumpur itu turut menghimpunkan 20 reruai usahawan tempatan bagi mempamerkan serta mempromosikan pelbagai produk keluaran negeri ini.
Beliau berkata, penganjuran itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memperluas peluang pemasaran produk tempatan.

“ini merupakan edisi kedua selepas kita mengadakannya di Medan MARA, Kuala Lumpur dan insya-Allah edisi ketiga juga akan diadakan di Kuala Lumpur,” katanya.
Mengulas Belanjawan Negeri Pahang 2027, beliau berkata, peruntukan yang disediakan turut memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan, termasuk aspek promosi, penambahbaikan produk dan kelestarian produk (product sustainability).
Katanya, sokongan berkenaan dijangka menjadi rangsangan kepada usahawan tempatan untuk meningkatkan kualiti produk, memperkukuh daya saing serta mengembangkan jualan masing-masing.

Beliau turut menggalakkan usahawan di negeri ini supaya sentiasa mengikuti perkembangan dan inisiatif kerajaan negeri, khususnya menerusi kluster keusahawanan bagi memastikan peluang bantuan dan manfaat yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Mengulas kemungkinan peningkatan penganjuran Pahang Showcase pada tahun hadapan, beliau berkata jumlah program itu menunjukkan perkembangan apabila meningkat daripada satu penganjuran pada 2025 kepada tiga penganjuran pada 2026.
“Insya-Allah, kita doakan yang terbaik. Mungkin lebih daripada tiga penganjuran pada tahun hadapan,” katanya.
Penganjuran Pahang Showcase diharap dapat terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan perniagaan usahawan tempatan, sekali gus meningkatkan capaian produk Pahang dalam pasaran yang lebih kompetitif. -PAHANGMEDIA

