Oleh : Ain Nadhirah Basha
TEMERLOH, 22 NOVEMBER 2026 : Pelbagai inisiatif kebajikan yang diumumkan menerusi Belanjawan Pahang 2027 mendapat sambutan positif rakyat apabila bantuan yang disediakan dilihat mampu meringankan beban kewangan keluarga, khususnya dalam aspek pendidikan anak-anak, kelahiran bayi dan kesejahteraan warga emas.
Bagi Puan Shahidatul Akmal Mohd Zaidi, 33, bantuan persekolahan kepada murid Tahun 1 amat bermakna dalam membantu ibu bapa menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak, terutama ketika berdepan peningkatan kos sara hidup.

Ibu kepada Muhammad Afi Shakil Mohamad Muzamil itu berkata, bantuan berkenaan sedikit sebanyak dapat mengurangkan perbelanjaan keluarga bagi membeli peralatan dan keperluan persekolahan anaknya.
“Sudah tentu kita rasa gembira kerana kita tahu banyak perbelanjaan diperlukan apabila anak mula memasuki Tahun 1, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi sekarang.
“Ketika abang dia masuk Tahun 1 dahulu, kami juga menerima bantuan RM100 bersama kotak alat tulis. Biasanya bantuan itu digunakan untuk membeli kelengkapan persekolahan dan menambah apa yang masih diperlukan.
“Saya sebagai rakyat Pahang sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas bantuan persekolahan untuk anak-anak ini,” katanya.

Sementara itu, Puan Nor Hafizah Kasim, 38, menyambut baik kesinambungan bantuan Permata Makmur yang disifatkan dapat membantu ibu bapa menyediakan keperluan bayi yang baru dilahirkan.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana anak dilahirkan di Pahang dan bantuan seperti ini dapat dinikmati oleh keluarga.
“Saya berharap bantuan sebegini diteruskan pada tahun-tahun akan datang kerana ia banyak membantu ibu bapa yang berdepan kekangan kewangan,” katanya.
Dalam pada itu, Penyelaras Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Mentakab, Puan Nor Aminah Ismail berkata, pengumuman peruntukan RM10,000 secara sekali beri kepada pusat berkenaan menjadi suntikan semangat untuk mempergiatkan program dan aktiviti warga emas.

Menurutnya, PAWE Mentakab kini mempunyai 418 ahli berdaftar dengan kira-kira 100 daripadanya aktif menyertai pelbagai program yang dianjurkan.
“Kita menerima berita baik untuk PAWE di Pahang, khususnya PAWE Mentakab di Temerloh. Kami sangat gembira menerima peruntukan RM10,000 ini dan insya-Allah akan menggunakannya untuk mengaktifkan lagi PAWE Mentakab.
“Untuk tahun depan, kita merancang mewujudkan sebuah pusat terapi untuk warga emas. Jadi, kita menggalakkan lebih ramai warga emas di Temerloh untuk mendaftar sebagai ahli dan menyertai aktiviti yang disediakan,” katanya.
Belanjawan Pahang 2027 yang dibentangkan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Jumaat lalu memperuntukkan sebanyak RM454.4 juta bagi perbelanjaan pembangunan berteraskan enam teras utama.
Peruntukan itu merangkumi pelbagai projek dan program pembangunan yang dirancang Kerajaan Negeri bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. -PAHANGMEDIA

