KUALA LUMPUR, 21 NOVEMBER 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan menerima Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan daripada Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan dan sumbangan Paduka Baginda kepada institusi berkenaan.
Anugerah berprestij itu diberikan sebagai penghargaan atas kepimpinan unggul Paduka Baginda yang pernah berkhidmat sebagai Canselor Pertama UniKL sejak 2004 hingga 2025.

Penganugerahan tersebut berlangsung pada Majlis Konvokesyen UniKL Ke-23 di sini, hari ini.
Berangkat mengiringi Paduka Baginda ialah Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Al-Marhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada majlis sama, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang turut dimasyhurkan sebagai Canselor UniKL yang baharu, menggantikan Paduka Ayahanda.
Paduka Baginda menzahirkan rasa syukur atas penganugerahan tersebut yang disifatkan bukan sekadar satu pengiktirafan, malah melambangkan ikatan kasih dan sejarah yang terjalin sepanjang tempoh bersama universiti berkenaan.

“Bagi saya, kemuliaan sesuatu anugerah bukan terletak pada gelaran yang disandang, tetapi pada amanah yang dijunjung dan bakti yang disumbangkan.
“Kerana pada akhirnya, bukan pangkat yang mengangkat martabat insan, tetapi ilmu, keikhlasan dan jasa yang ditinggalkan.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Majlis Amanah Rakyat (MARA), MARA Corporation, Lembaga Pengarah, Senat Universiti serta seluruh warga UniKL atas penghormatan yang bermakna ini,” titah Paduka Baginda.- PAHANGMEDIA

