Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
TEMERLOH, 21 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM450,000 sebagai langkah mengawal ancaman spesies ikan asing terhadap ekosistem sungai di negeri ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha itu membuktikan keseriusan kerajaan negeri dalam menangani populasi ikan asing termasuk baung ekor merah yang bersifat pemangsa dan berpotensi mengancam kelangsungan spesies ikan tempatan.
“Spesies ini sangat ganas kerana memakan ikan-ikan lain. Jika dibiarkan, ia boleh menjadi dominan dan menyebabkan spesies ikan lain yang sedia ada di sungai-sungai Negeri Pahang terhapus.

“Justeru, sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri, kita melaksanakan program ini secara serentak di tujuh lokasi seluruh Pahang, termasuk mengadakan pertandingan bagi peserta yang berjaya menangkap ikan baung ekor merah paling banyak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada perasmian program Pahang 1st Tawan Baung Ekor Merah Fest 2026 di Dataran Pekan Sehari, Kuala Krau hari ini.
Pertandingan Pahang 1st Tawan Baung Ekor Merah Fest 2026 yang bermula 19 November selama tiga hari di tujuh lokasi sekitar negeri ini turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records.
Pertandingan utama yang berlangsung di Dataran Pekan Sehari, Kuala Krau, Temerloh, turut melibatkan enam lokasi satelit iaitu Dataran Kampung Bangau, Temerloh; Dataran Indera Pahlawan, Chenor; Eco Gahai, Tanjung Gahai dan Kampung Ganding, Lipis; Jambatan Jerantut Feri, Jerantut serta Ghumoh Rakit Ayoh Uda, Pekan.

Penganjuran secara percuma dan terbuka kepada semua itu menawarkan hadiah utama RM10,000 bagi kategori Tangkapan Terbanyak, manakala RM5,000 menanti pemenang kategori Tangkapan Terberat Seluruh Kawasan.
Bagi kategori Tangkapan Terberat Setiap Kawasan, juara bakal membawa pulang RM3,000, naib juara RM2,000, tempat ketiga RM1,000, tempat keempat RM500, manakala peserta di kedudukan kelima hingga kesepuluh masing-masing menerima RM300.
Turut hadir, YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad. -PAHANGMEDIA

