Oleh : Nur Saadah Artika
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM1.45 juta menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2027 bagi menangani ancaman spesies ikan asing, khususnya ikan baung ekor merah, serta memulihkan populasi ikan tempatan di perairan negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM450,000 diperuntukkan bagi usaha menghapuskan spesies ikan asing yang boleh mengancam keseimbangan ekosistem perairan.
Menurut beliau, sebanyak RM1 juta lagi disediakan bagi program pelepasan ikan tempatan sebagai langkah memulihkan populasi spesies asli dan memastikan kelestarian sumber perikanan negeri terus terpelihara.
“Kerajaan Negeri memberi perhatian kepada kelestarian ekosistem perairan dengan mengambil langkah mengurangkan ancaman spesies asing serta memastikan populasi spesies ikan tempatan terus dipelihara.
“Sebanyak 450 ribu ringgit diperuntukkan bagi menghapuskan spesies ikan asing, khususnya ikan baung ekor merah, manakala 1 juta ringgit disediakan untuk pelepasan ikan tempatan bagi memulihkan populasi spesies asli di perairan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Peruntukan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri untuk memperkukuh pemeliharaan biodiversiti akuatik menerusi kawalan spesies asing dan pemulihan sumber perikanan tempatan.
Langkah itu turut memberi tumpuan kepada usaha memastikan ekosistem perairan negeri kekal seimbang, di samping melindungi kelangsungan spesies ikan asli untuk generasi akan datang. -PAHANGMEDIA

