Oleh : Nur Saadah Artika
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM97.3 juta menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2027 bagi memperkukuh pemeliharaan khazanah alam semula jadi, pemuliharaan biodiversiti serta pengurusan sumber negeri secara lestari.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan berkenaan memberi tumpuan kepada pengurusan dan pemeliharaan hutan, perlindungan hidupan liar, pengurusan sisa industri serta usaha memastikan sumber asli negeri terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, sebanyak RM88.4 juta diperuntukkan bagi pengurusan dan pemeliharaan hutan, termasuk pelaksanaan Ecological Fiscal Transfer (EFT), penanaman semula pokok, inventori, restorasi serta pelbagai program Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.
“Kerajaan Negeri komited memastikan khazanah alam semula jadi Pahang terus dipelihara melalui pengurusan sumber asli secara lestari serta penguatkuasaan lebih tegas terhadap pencerobohan tanah dan Hutan Simpan Kekal.
“Peruntukan bagi teras ini adalah sebanyak 97.3 juta ringgit.
“Bagi tujuan ini, 88.4 juta ringgit diperuntukkan untuk pengurusan dan pemeliharaan hutan, termasuk Ecological Fiscal Transfer (EFT), penanaman semula pokok, inventori, restorasi serta pelbagai program Jabatan Perhutanan Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Dalam aspek pemuliharaan biodiversiti pula, beliau berkata Yayasan Pahang memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi pembangunan Wildlife Conservation Park di Kuala Sat, Ulu Tembeling dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Majlis Biodiversiti Negeri Pahang.
Menurut beliau, projek Living Lab dan Wildlife Conservation pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan UPM dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) itu akan memberi tumpuan kepada penyelidikan saintifik, pemantauan gajah Asia serta pemeliharaan koridor hidupan liar.
“Dalam aspek pemuliharaan biodiversiti, sebanyak 2 juta ringgit diperuntukkan oleh Yayasan Pahang bagi pembangunan Wildlife Conservation Park di Kuala Sat, Ulu Tembeling dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Majlis Biodiversiti Negeri Pahang.
“Projek Living Lab dan Wildlife Conservation pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan UPM dan PERHILITAN ini akan memberi tumpuan kepada penyelidikan saintifik, pemantauan gajah Asia serta pemeliharaan koridor hidupan liar yang menghubungkan Taman Negara Kuala Tahan dengan Hutan Simpan Tekai,” katanya.
Sementara itu, sebanyak RM1.5 juta turut disediakan bagi pengurusan sisa dan pemulihan kawasan bekas lombong secara bertanggungjawab dalam usaha mengurangkan kesan aktiviti industri terhadap alam sekitar.
“Bagi mengurangkan kesan aktiviti industri terhadap alam sekitar, 1.5 juta ringgit disediakan untuk pengurusan sisa dan pemulihan kawasan bekas lombong secara bertanggungjawab, termasuk meneroka potensi ekonomi baharu daripada sisa tersebut,” katanya.
Pelaksanaan inisiatif berkenaan turut memberi penekanan kepada usaha mengimbangi keperluan pembangunan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar, khususnya dalam memastikan kawasan hutan, habitat hidupan liar dan sumber asli negeri diurus secara mampan.
Secara keseluruhan, peruntukan RM97.3 juta itu merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkukuh pengurusan alam sekitar dan memastikan khazanah semula jadi Pahang terus dilindungi demi kesejahteraan rakyat serta kelestarian sumber negeri pada masa hadapan. -PAHANGMEDIA

