Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM105 juta menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2027 bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan bekalan air dalam usaha memastikan bekalan air terawat yang mencukupi dan berterusan kepada rakyat di seluruh negeri.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan berkenaan turut merangkumi RM1.5 juta bagi pelaksanaan projek di Empangan Chereh untuk meningkatkan kecekapan pengurusan sumber air mentah.
Menurut beliau, pembangunan infrastruktur bekalan air merupakan antara keutamaan Kerajaan Negeri bagi memenuhi keperluan penduduk serta menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri.
“Dalam memastikan bekalan air terawat terus terjamin, sebanyak RM105 juta diperuntukkan bagi pelbagai projek pembangunan bekalan air, termasuk RM1.5 juta untuk projek di Empangan Chereh bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sumber air mentah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Peruntukan RM105 juta itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan RM252.1 juta yang disediakan di bawah Teras Keempat Belanjawan Negeri Pahang 2027, iaitu Memperkukuh Infrastruktur dan Kemudahan Asas Rakyat.
Menerusi peruntukan berkenaan, Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada pembangunan kemudahan bekalan air serta penambahbaikan pengurusan sumber air mentah bagi memastikan keperluan pengguna terus diberi perhatian.
Usaha itu juga selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkukuh penyediaan infrastruktur asas yang menjadi keperluan harian rakyat, selain menyokong pembangunan ekonomi Pahang secara berterusan. -PAHANGMEDIA

