Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM108.74 juta menerusi Teras Pertama Belanjawan Negeri Pahang 2027 bagi memperkasakan sektor pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pembangunan modal insan, dengan tumpuan kepada bantuan persekolahan, kebajikan pelajar dan kecemerlangan akademik.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan itu merangkumi pelbagai inisiatif bagi memastikan anak-anak Pahang mendapat akses pendidikan yang lebih menyeluruh, selain membantu meringankan beban kewangan keluarga dan mahasiswa.
Menurut beliau, antara peruntukan terbesar ialah RM34 juta bagi Program Tunas Makmur yang menyediakan kit persekolahan dan baucar pakaian sekolah bernilai RM100 kepada murid Tahun Satu serta murid Tahun Dua hingga Tingkatan Lima daripada keluarga miskin tegar.
Katanya, peruntukan program berkenaan meningkat sebanyak RM17 juta berbanding tahun 2026 sebagai usaha memperluas manfaat bantuan persekolahan kepada golongan sasar.
“Bantuan mahasiswa anak Pahang turut dinaikkan daripada RM400 kepada RM500 secara sekali beri (one-off), membabitkan peruntukan RM10 juta yang bakal memberi manfaat kepada 20,000 mahasiswa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).
“RM1,000 secara one-off diberikan kepada anak Pahang yang berjaya melanjutkan pengajian ke luar negara dengan peruntukan sebanyak RM800,000 manakala RM500 diberikan sebagai subsidi tiket penerbangan kepada mahasiswa anak Pahang dalam keluarga B40 yang menuntut di Sabah dan Sarawak dengan peruntukan RM150,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak RM6 juta diperuntukkan bagi penyediaan buku rujukan dan latihan kepada kira-kira 40,000 pelajar Tingkatan Empat serta calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Bagi memastikan kebajikan pelajar terus terbela, Kerajaan Negeri turut menyediakan RM8.37 juta menerusi Program Sajian Kasih Makmur yang menawarkan bantuan makanan tambahan kepada pelajar sekolah menengah dan Tingkatan Enam daripada keluarga miskin tegar.
Selain itu, sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi Program Juadah Makmur Pelajar untuk menyediakan makanan tengah hari kepada calon peperiksaan SPM, STPM dan STAM.
“Insentif kecemerlangan pelajar SPM, STPM dan STAM yang menyumbang kepada Gred Purata Negeri (GPN) dinaikkan daripada RM1.2 juta kepada RM3 juta untuk 3,000 pelajar cemerlang,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM1.8 juta bagi subsidi Tadika Tahfiz Negeri Pahang, manakala RM900,000 disediakan untuk pemasangan papan pintar dan pendigitalan di 18 Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang serta sebuah Sekolah Rendah Agama Islam Negeri.
Sebanyak RM3 juta pula diperuntukkan bagi memperkukuh Akademi Pahang 1st, selain RM2 juta bagi sumbangan komputer riba kepada anak Pahang yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi.
Dalam usaha memperkasa pembangunan bakat dan kepimpinan generasi muda, Kerajaan Negeri turut menyediakan RM2 juta bagi Program Pahang Lead 2027 serta RM1 juta untuk Geran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Pahang.
Turut diperuntukkan ialah RM370,000 bagi Anugerah Kecemerlangan Sekolah Pahang 1st dan RM100,000 untuk Pertandingan Inovasi Kecerdasan Buatan (AI) Antarabangsa bagi menggalakkan budaya inovasi serta kecemerlangan pendidikan dalam kalangan pelajar.
Keseluruhan inisiatif di bawah teras berkenaan memberi penekanan kepada usaha memperluas akses pendidikan, memperkukuh kebajikan pelajar dan melahirkan modal insan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan pembangunan negeri. -PAHANGMEDIA

