Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Seramai 2,346 peminjam dalam kalangan anak Pahang dijangka menerima manfaat menerusi peruntukan RM5 juta bagi Subsidi Pengurangan Pembayaran Pinjaman PTPTN Pahang 1st yang diumumkan dalam Belanjawan Negeri Pahang 2027.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif yang dikhususkan kepada peminjam anak Pahang di peringkat Ijazah Pertama itu bertujuan membantu meringankan beban kewangan graduan dalam melunaskan pinjaman pendidikan masing-masing.
“Kerajaan Negeri juga memahami beban yang ditanggung oleh graduan dalam melunaskan pinjaman pendidikan.
“Justeru, sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi Subsidi Pengurangan Pembayaran Pinjaman PTPTN Pahang 1st, khusus kepada peminjam anak Pahang di peringkat Ijazah Pertama, yang dijangka memberi manfaat kepada 2,346 penerima,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Peruntukan itu merupakan sebahagian daripada RM108.74 juta yang disediakan di bawah Teras Pertama Belanjawan Negeri Pahang 2027, iaitu Memperkasa Pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Modal Insan.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM3 juta bagi Program Apresiasi Guru Pahang 1st sebagai penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan warga pendidik dalam membangunkan modal insan negeri.
Bagi memperluas akses kepada pendidikan tinggi, sebanyak RM2 juta disediakan menerusi Biasiswa Inisiatif Bantuan Negeri Pahang, selain RM1 juta masing-masing kepada UCYP University bagi Pusat Bahasa Tamil dan Mandarin serta Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS).
Kerajaan Negeri turut menyediakan RM16.3 juta bagi pembangunan kampus dan geran mengurus UNIQSAAS sebagai usaha memperkukuh kemudahan serta pembangunan institusi pendidikan tinggi berkenaan.
“Dalam bidang TVET pula, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM1 juta menerusi Biasiswa Inisiatif Bantuan Negeri Pahang untuk program TVET Talent Development dan RM2.2 juta lagi bagi pembiayaan pembangunan Pahang Skills,” katanya.
Selain itu, sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi penganjuran Townhall Mahasiswa di IPT Pahang 1st, manakala RM2 juta lagi disediakan bagi Program Jejak Aspirasi Pahang 1st untuk menyantuni anak Pahang yang melanjutkan pengajian di luar negara, khususnya di Mesir, Jordan dan China.
Di bawah teras sama, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan RM500,000 masing-masing bagi Kongres Kepimpinan Bakti Negeri Pra Universiti Pahang 1st 2027 dan Simposium UiTM Se-Malaysia.
Keseluruhan inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada usaha memperluas peluang pendidikan, memperkukuh pembangunan kemahiran serta menyediakan sokongan kepada pelajar dan graduan dalam menghadapi cabaran pendidikan dan kerjaya. -PAHANGMEDIA

