Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang meningkatkan peruntukan sumbangan secara sekali beri (one-off) kepada pemimpin dan petugas institusi agama kepada RM3.11 juta bagi tahun 2027 berbanding RM1.87 juta tahun ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peningkatan peruntukan sebanyak RM1.24 juta itu merupakan penghargaan Kerajaan Negeri terhadap sumbangan dan komitmen golongan berkenaan dalam melaksanakan tanggungjawab berkaitan hal ehwal agama serta kebajikan masyarakat.
Menurut beliau, sumbangan itu melibatkan pelbagai kategori pemimpin dan petugas institusi agama termasuk imam, bilal, siak, wali hakim serta guru dan penyelaras takmir.
“Penghargaan turut diberikan kepada pemimpin dan petugas institusi agama.
“Kerajaan Negeri bersetuju meningkatkan peruntukan sumbangan one-off kepada 3.11 juta ringgit, berbanding 1.87 juta ringgit pada tahun 2026.
“Sumbangan ini melibatkan Imam, Bilal, Siak, Wali Hakim, Guru dan Penyelaras Takmir, Penggali Kubur dan Pengurus Jenazah, Guru dan Penyelia KAFA, Guru Al-Quran Asrama, serta Pengerusi Masjid dan Surau yang mendapat kebenaran solat Jumaat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Peningkatan peruntukan itu turut melibatkan penggali kubur, pengurus jenazah, guru dan penyelia Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru Al-Quran asrama serta pengerusi masjid dan surau yang mendapat kebenaran menunaikan solat Jumaat.
Inisiatif berkenaan mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memberikan penghargaan kepada pemimpin dan petugas institusi agama yang memainkan peranan penting dalam pengurusan hal ehwal Islam, pendidikan agama serta pembangunan masyarakat di peringkat akar umbi. -PAHANGMEDIA

