Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Sebanyak 30 kampung Orang Asli di Pahang telah selesai diwartakan, manakala 31 lagi sedang dalam proses pewartaan sebagai sebahagian usaha Kerajaan Negeri memastikan hak dan kepentingan masyarakat berkenaan terus terpelihara.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, daripada keseluruhan 322 kampung Orang Asli di negeri ini, sebanyak 264 kampung telah berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), manakala 58 lagi masih belum berdaftar.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri turut komited mempercepatkan proses pendaftaran dan pewartaan kampung Orang Asli menerusi penyelarasan antara agensi berkaitan.
“Kerajaan Negeri hanya menunggu daripada pihak JAKOA. Seandainya dikemukakan permohonan, kita akan proses dengan sedaya mungkin dan sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, YB Dato’ Haji Mustapa Haji Long pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata daripada 30 kampung yang telah diwartakan, sebanyak 19 terletak di Raub, empat di Temerloh, masing-masing tiga di Rompin dan Cameron Highlands serta satu di Lipis.
Katanya, proses pewartaan bermula dengan permohonan JAKOA melalui Pejabat Tanah Daerah (PTD) sebelum dikemukakan kepada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) untuk dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri bagi mendapatkan kelulusan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan terdapat beberapa kekangan yang menyebabkan kelewatan proses pendaftaran dan pewartaan, antaranya perubahan lokasi penempatan masyarakat Orang Asli serta pertindihan kawasan kampung dengan hutan simpan kekal dan tanah di bawah bidang kuasa agensi lain.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah menubuhkan jawatankuasa khas atau Task Force yang dianggotai PTG, PTD dan JAKOA bagi menyelaras serta menyelesaikan isu berkaitan.
Jawatankuasa berkenaan turut bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bagi menangani pertindihan kawasan yang melibatkan bidang kuasa agensi terbabit.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail telah bersetuju meluluskan peruntukan khas bagi mempercepatkan pendaftaran 58 kampung Orang Asli yang masih belum berdaftar.
“Menteri Besar telah bersetuju untuk meluluskan satu peruntukan khas supaya kampung-kampung yang belum berdaftar ini dapat didaftarkan segera dan, jika boleh, diusahakan untuk pewartaan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Negeri turut memberi perhatian serius terhadap isu pencerobohan tanah rizab Orang Asli bagi memastikan kawasan berkenaan tidak disalahgunakan oleh pihak luar.
Katanya, jawatankuasa khas yang dipengerusikannya akan terus memantau isu pendaftaran, pewartaan dan pertindihan kawasan penempatan masyarakat Orang Asli supaya tindakan penyelesaian dapat dilaksanakan mengikut peraturan serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. -PAHANGMEDIA

