Oleh: Syafiqah Jamaluddin
Foto: Ezzatul Syafiqa
KUANTAN, 19 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM809,050 sebagai insentif penghargaan kepada 326 atlet negeri yang berjaya mengharumkan nama Pahang menerusi pencapaian cemerlang dalam temasya SUKMA XXII Selangor 2026 dan Para SUKMA Selangor 2026.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemberian insentif itu merupakan pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap usaha, komitmen dan pengorbanan atlet dalam mencapai kejayaan pada temasya berkenaan.
Menurut beliau, kadar insentif diberikan berdasarkan kategori pingat yang dimenangi mengikut kadar ganjaran yang telah dibincangkan dan diluluskan oleh Kerajaan Negeri.
“Lazimnya setiap dua tahun, kita akan membuat sedikit peningkatan terhadap insentif yang diberikan kepada mereka sebagai ganjaran dan tanda terima kasih atas kejayaan mengharumkan nama negeri Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Insentif Kecemerlangan Atlet Negeri Pahang Tahun 2026 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, hari ini.
Majlis berkenaan meraikan kejayaan atlet Pahang yang meraih pingat emas, perak dan gangsa serta mencipta rekod baharu dalam kedua-dua temasya sukan tersebut.
Penghargaan turut diberikan kepada jurulatih dan pengurus pasukan yang memainkan peranan penting dalam membimbing, melatih serta memastikan persiapan atlet berada pada tahap terbaik.
Selain kecemerlangan sukan, Kerajaan Negeri turut mengiktiraf atlet yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekali gus membuktikan kejayaan dalam bidang sukan dan akademik mampu dicapai secara seiring.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy merakamkan ucapan tahniah kepada semua atlet yang berjaya serta menghargai komitmen Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Fadzli Mohamad Kamal dalam memperkasa kecemerlangan sukan negeri.
Beliau turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan kepada pembangunan sukan termasuk menyediakan kemudahan dan persekitaran latihan yang lebih selesa serta teratur.
Katanya, kejayaan yang diraih diharap menjadi pembakar semangat kepada atlet Pahang untuk terus meningkatkan prestasi dan mencipta lebih banyak kejayaan pada temasya akan datang.
Sementara itu, mengulas cadangan pemberian insentif tambahan kepada atlet acara menembak dan hoki, beliau berkata perkara berkenaan akan diteliti berdasarkan cadangan yang dikemukakan oleh Dato’ Fadzli.
“Lazimnya, kalau Kerajaan Negeri mengizinkan, kita akan bagi tambahan,” katanya. -PAHANGMEDIA

