Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 19 NOVEMBER 2026 : Sumbangan Kerajaan Negeri yang disalurkan bukan sekadar meringankan beban kewangan, malah memberi kelegaan kepada keluarga pesakit kanser dan ibu tunggal yang berdepan kesukaran hidup.
Bagi Puan Murni Mahmud, 47, sumbangan kos rawatan perubatan sebanyak RM5,400 yang diterimanya bagi pihak abang, Encik Munir Mahmud, amat bermakna dalam membantu membiayai rawatan isteri abangnya yang menghidap kanser payudara buat kali kedua.

Menurutnya, kakak iparnya sebelum ini pernah pulih daripada penyakit berkenaan kira-kira enam tahun lalu, namun kini kembali berdepan ujian apabila kanser itu menyerang semula.
Katanya, bantuan tersebut dapat digunakan untuk menampung kos rawatan termasuk keperluan perubatan yang tinggi, selain membantu meringankan beban abangnya yang bekerja kampung dan perlu menyara lima orang anak.
“Kos rawatan memang tinggi. Antaranya, keperluan tabung oksigen sahaja hampir RM2,000, manakala kos suntikan rawatan boleh mencecah RM1,000.
“Abang saya bekerja kampung dan kami adik-beradik turut membantu mengikut kemampuan. Jadi, bantuan ini sangat bermakna untuk meringankan beban keluarga.
“Saya amat berterima kasih dengan sumbangan yang diberikan ini. Terima kasih Tok Wan (YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail), katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan bantuan Kerajaan Negeri Pahang di lobi Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini hari ini.
Sementara itu, seorang ibu tunggal, Puan Azizah Mohamed, 53, dari Kampung Cendering, di sini, turut melahirkan rasa syukur apabila menerima bantuan kos sara hidup sebanyak RM3,000 bagi membantu menguruskan keperluan harian keluarganya.

Puan Azizah yang mempunyai dua anak masing-masing di Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua berkata, dia hanya bergantung kepada pendapatan tidak menentu hasil membuat kuih bagi menyara kehidupan mereka.
Lebih mencabar, dia turut mengalami masalah kesihatan melibatkan lutut dan tulang belakang yang menjejaskan keupayaannya untuk mencari pendapatan.
“Terima kasih sangat kepasa Kerajaan Negeri, kepada YAB Menteri Besar Pahang kerana bagi sumbangan ini. Bantuan ini saya nak guna untuk beli ubat dan belanja lain,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda Keratong 2, Puan Sa’ayah Burok, 68, yang turut memerima sumbangan memberitahu akan memggunakan sumbangan terbabit untuk membeli peralatan katering.
“Nak guna buat beli barang katering untuk dewan. Boleh jana pendapatan untuk GPW. Pendapatan itu nanti untuk jalan aktiviti GPW. Terima kasih Tok Wan bagi sumbangan untuk GPW Felda Keratong 2,” katanya. -PAHANGMEDIA

