Oleh: Syafiqah Jamaluddin
BENTONG, 18 NOVEMBER 2026 : Belanjawan Negeri Pahang 2027 yang bakal dibentangkan pada 20 November ini dijangka membawa berita baik kepada rakyat menerusi pengenalan beberapa inisiatif baharu, penambahbaikan program sedia ada serta penerusan inisiatif yang masih relevan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, persiapan pembentangan belanjawan berkenaan kini mencapai kira-kira 95 peratus dan dijadual berlangsung pada pukul 10 pagi di Dewan Negeri Pahang.
Menurut beliau, penyediaan belanjawan itu dilakukan secara teliti melalui pelbagai peringkat perbincangan dan perancangan bagi memastikan setiap inisiatif yang dirangka mengambil kira keperluan serta kepentingan rakyat.
“Perancangan Belanjawan Negeri Pahang ini tidak dibuat dalam keadaan tergesa-gesa. Kita merancang, berfikir, berbincang, mengadakan mesyuarat serta retret bajet.
“Ia juga merupakan satu proses berterusan. Sekiranya ada perkara baik yang terfikir kemudian, kita akan terus rekodkan untuk dipertimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri di Majlis Daerah Bentong, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Belanjawan Negeri Pahang 2027 bukan sahaja memberi tumpuan kepada pengenalan inisiatif baharu, malah turut melibatkan penambahbaikan program sedia ada bagi memastikan manfaatnya terus dapat dinikmati rakyat.
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh rakyat Pahang mengikuti pembentangan Belanjawan Negeri Pahang 2027 yang akan disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi Pahang Media, Kerajaan Negeri Pahang dan Wan Rosdy bin Wan Ismail pada 20 November ini, pukul 10.30 pagi. – PAHANGMEDIA

