Oleh: Syafiqah Jamaluddin
Foto: Nur Saadah Artikah
KUANTAN, 17 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang menyasarkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini memperoleh pengiktirafan bandar pintar dalam usaha merealisasikan aspirasi menjadikan Pahang sebagai negeri pintar.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, ketika ini hanya tiga PBT masih belum memperoleh pengiktirafan berkenaan dan usaha sedang dipergiat bagi memastikan kesemuanya memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Menurut beliau, Jawatankuasa Bandar Pintar yang baru ditubuhkan telah diminta bekerjasama dengan PLANMalaysia bagi memberikan bimbingan serta sokongan kepada ketiga-tiga PBT terbabit.

“Jika tiga lagi PBT ini mendapat pengiktirafan, sudah tentu semua PBT di negeri ini akan diiktiraf sebagai bandar pintar. Kita mahu menjadikan Pahang sebagai negeri pintar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program seminar dan penyampaian watikah pelantikan kepada ahli majlis PBT di AC Hotel by Marriott Kuantan, di sini, hari ini.
Menurutnya, usaha merealisasikan sasaran itu memerlukan penyelarasan menyeluruh khususnya dari aspek pengurusan, keperluan kewangan, peruntukan serta pelaksanaan inisiatif pembangunan bandar pintar dan mampan.
Dalam pada itu, beliau berkata, platform digital seperti laman sesawang khas atau aplikasi PahangGo turut dicadangkan sebagai medium penyampaian maklumat berkaitan pembangunan bandar kepada masyarakat.
“Kita juga mahu mengadakan satu laman sesawang khas menerusi jawatankuasa bandar pintar atau memanfaatkan aplikasi PahangGo bagi menyampaikan maklumat berguna kepada setiap lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, langkah berkenaan penting bagi meningkatkan kefahaman rakyat terhadap agenda bandar mampan, bandar pintar dan bandar bahagia, selain memperkukuh hubungan antara PBT dengan komuniti setempat.
Mengulas mengenai program berkenaan, beliau berkata, seminar itu bertujuan memperkukuh kefahaman ahli majlis PBT terhadap bidang kuasa, tugas dan tanggungjawab masing-masing, termasuk garis panduan serta perkara yang boleh dan tidak boleh dilaksanakan.
Katanya, setiap ahli majlis perlu mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI) dan memainkan peranan sebagai mata serta telinga kerajaan dalam menyalurkan isu dan permasalahan penduduk kepada PBT untuk tindakan sewajarnya.
Tambah beliau, aspek perkhidmatan asas termasuk pengurusan sampah, penyelenggaraan longkang dan kemudahan awam juga perlu terus dipertingkatkan bagi memastikan kesejahteraan serta kepuasan penduduk sentiasa terpelihara. – PAHANGMEDIA

