PEKAN, 15 NOVEMBER 2026 : Penganjuran Kuala Pahang International Surf Festival 2026 mencipta sejarah apabila buat julung kalinya festival luncur ombak bertaraf antarabangsa diadakan di daerah Pekan dengan menarik 111 penyertaan dari enam negara.
Festival yang berlangsung selama empat hari bermula 12 hingga 15 November di Pantai Kuala Pahang itu melibatkan penyertaan dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Jepun dan Kanada, sekali gus memperkukuh kedudukan Pahang sebagai destinasi pelancongan sukan (sports tourism) di peringkat antarabangsa.

Majlis perasmian festival berkenaan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Puan Leong Yu Man, diiringi Pengurus Besar Tourism Pahang, Puan Nor Zahira binti Muhammad Azmi.
YB Puan Leong Yu Man berkata, penganjuran festival berkenaan membuktikan daerah Pekan mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai antara destinasi pelancongan sukan di Pahang.
Menurut beliau, festival itu turut menjadi platform memperkenalkan keunikan Pekan sebagai Bandar Diraja yang kaya dengan sejarah, warisan, budaya serta makanan tradisional kepada pelancong domestik dan antarabangsa.
“Kerajaan Negeri Pahang sentiasa mengalu-alukan penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa seperti ini kerana ia bukan sahaja mampu menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa, malah turut memberikan limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat, khususnya pengusaha penginapan, makanan, pengangkutan, peniaga kecil dan pengusaha produk pelancongan.
“Kita berharap Kuala Pahang International Surf Festival dapat terus berkembang sebagai acara tahunan bertaraf antarabangsa, sekali gus meletakkan Pantai Kuala Pahang dalam kalangan destinasi pilihan peminat sukan luncur ombak serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada komuniti setempat,” katanya.
Festival anjuran BShack Kuala Global dengan kerjasama Pertubuhan Perlindungan Kucing, Dato’ Shamsiah, Pekan Pahang (Meow Island) serta sokongan Tourism Pahang dan pelbagai pihak itu mempertandingkan tujuh kategori utama.
Kategori berkenaan ialah Men Shortboard, Women Shortboard, Men Longboard, Women Longboard, Bodyboard Open, Grommet Open dan Master bagi peserta berusia 35 tahun ke atas.
Festival itu turut mengetengahkan kategori khas Surf Legends 60+ yang menghimpunkan peluncur ombak veteran berusia 60 tahun ke atas.
Selain pertandingan luncur ombak, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti sampingan termasuk sukaneka desa, permainan tradisional, demonstrasi CPR, masakan kampung, aktiviti ATV, perkhemahan serta pameran kraftangan dan batik.
Sementara itu, Kerajaan Negeri Pahang menerusi Tourism Pahang akan terus menyokong penganjuran acara pelancongan sukan yang berpotensi meningkatkan daya tarikan negeri, memperkukuh kerjasama dengan pemain industri serta merancakkan ekonomi komuniti setempat.
Usaha berkenaan selaras dengan aspirasi Pahang First dan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026-2027. – PAHANGMEDIA

