Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
PEKAN, 12 NOVEMBER 2026 : Projek Bekalan Air Nenasi dijangka beroperasi sepenuhnya pada awal tahun hadapan selepas keseluruhan projek bekalan air berkenaan siap menjelang penghujung Disember ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, projek berkenaan bakal memberi manfaat kepada hampir 2,000 akaun pengguna di kawasan Pantai Nenasi termasuk Tanjung Batu, Nenasi dan Merchong.

Beliau berkata, pelaksanaan projek yang mengambil masa hampir 10 tahun itu kini menunjukkan perkembangan positif apabila penduduk di kawasan Nenasi mula menikmati peningkatan ketara dari segi tekanan dan kualiti bekalan air.
“Transformasi daripada keadaan dahulu dengan sekarang memang jauh berbeza. Saya sendiri melihat tekanan air di rumah penduduk sangat baik dan kualitinya juga amat memuaskan.

“Malah, ada penduduk memaklumkan penapis air yang digunakan selepas dua minggu masih belum perlu dibersihkan, sedangkan sebelum ini baru sehari digunakan sudah perlu dicuci,” katanya.

Menurut beliau, baki pelaksanaan projek sehingga ke kawasan Merchong dijangka disiapkan pada penghujung Disember ini sebelum keseluruhan sistem bekalan air dapat beroperasi sepenuhnya pada awal tahun hadapan.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan program turun padang bagi meninjau pelaksanaan projek berkenaan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), YH. Dato’ Saiful Zaini Mohd Bokhari di Loji Air Nenasi, di sini. – PAHANGMEDIA

