Oleh : Ahmad Fansuri Mohamad Nasir
Foto : Shah
RAUB, 11 NOVEMBER 2026 : Sebanyak RM20,000 diluluskan bagi membantu meningkatkan kemudahan masyarakat Orang Asli dan sekolah agama menerusi siri Jelajah Aspirasi Pahang 1st Dewan Undangan Negeri (DUN) Dong, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, daripada jumlah itu, RM10,000 diperuntukkan bagi kerja-kerja membaik pulih kemudahan rekreasi di Kampung Orang Asli Sungai Chandan.
Manakala RM10,000 lagi diluluskan kepada Sekolah Agama Rakyat KAFA FELDA Krau 1 bagi membaiki tandas yang rosak, sekali gus menyediakan persekitaran pembelajaran lebih selesa kepada murid.
Dalam pertemuan bersama masyarakat Orang Asli, beliau turut menekankan kepentingan pendidikan sebagai asas utama dalam mengubah masa depan dan meningkatkan taraf kehidupan komuniti berkenaan.
Beliau mengingatkan ibu bapa supaya memberikan perhatian serius terhadap pendidikan anak-anak kerana generasi muda Orang Asli juga berhak menikmati peluang pendidikan yang baik serta mencapai kejayaan setanding masyarakat lain.
Katanya, anak-anak Orang Asli perlu diberikan galakan dan sokongan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi bagi melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berupaya membina kehidupan lebih baik.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan penubuhan Pahang Orang Asli Corporation Sdn. Bhd. (ORACO) atas inisiatif YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail sebagai langkah memperkukuh kebajikan dan pembangunan masyarakat Orang Asli di seluruh negeri.
Antara bantuan yang disediakan menerusi ORACO termasuk pengagihan bakul makanan, pemberian komputer riba percuma kepada anak-anak Orang Asli yang melanjutkan pengajian serta penyediaan Rumah Rakyat Pahang (RRP) menerusi kuota khas untuk komuniti berkenaan.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan Negeri bagi memastikan masyarakat Orang Asli tidak tercicir daripada arus pembangunan, khususnya dalam aspek pendidikan, perumahan dan kesejahteraan hidup.
Program Jelajah Aspirasi Pahang 1st yang mula dilaksanakan pada 2025 pula merupakan pendekatan pentadbiran Kerajaan Negeri pimpinan Dato’ Sei Diraja Haji Wan Rosdy bagi membawa barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan turun padang, mendengar sendiri permasalahan rakyat serta mengenal pasti penyelesaian mengikut bidang tanggungjawab masing-masing.
Menerusi pendekatan itu, kepimpinan negeri dapat menilai keperluan masyarakat secara langsung, termasuk meluluskan peruntukan bagi kerja-kerja penambahbaikan kemudahan asas dan infrastruktur kecil yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Usaha berkenaan turut memperkukuh kerjasama antara barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, wakil rakyat dan agensi kerajaan bagi memastikan setiap isu yang dibangkitkan masyarakat dapat ditangani dengan lebih cepat dan berkesan. -PAHANGMEDIA

