Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 7 NOVEMBER 2026 : Karnival Aspirasi Pahang 1st Peringkat Daerah Bentong tampil dengan pelbagai tarikan unik termasuk hadiah wang tunai RM8,000, motosikal dan PlayStation 5 (PS5), selain menghimpunkan masyarakat menerusi pelbagai kluster aktiviti yang mencerminkan kepelbagaian komuniti setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam berkata, keunikan karnival kali ini turut terserlah menerusi penganjuran Kenduri Rakyat yang menghimpunkan pelbagai juadah daripada kampung-kampung sekitar Bentong.

“Di Bentong ini ada beberapa kelainan antaranya hadiah yang paling misteri iaitu wang tunai sebanyak RM8,000 dan tahniah kepada pemenang yang telah merangkul hadiah tersebut.
“Kita juga ada hadiah motosikal yang kita panggil motosikal Tokwan dan PlayStation 5 (PS5), jadi hadiah-hadiah ini memang unik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Karnival Aspirasi Pahang 1st Peringkat Daerah Bentong sebagai wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Dataran Bentong, di sini, malam tadi.

Menurut beliau, penganjuran karnival itu turut memberi ruang kepada masyarakat menikmati pelbagai aktiviti menerusi kluster pembangunan usahawan, Food Fest serta Kenduri Rakyat yang melibatkan penyertaan kampung-kampung sekitar daerah berkenaan.
Katanya, konsep Kenduri Rakyat pada kali ini turut menampilkan kepelbagaian menu daripada pelbagai kaum dan komuniti, sekali gus menggambarkan keharmonian masyarakat Bentong yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

“Setiap kampung akan membekalkan produk mengikut kesesuaian dan pada hari ini kita dapat melihat pelbagai menu Kenduri Rakyat yang mencerminkan kepelbagaian masyarakat di Bentong,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sambutan terhadap karnival berkenaan amat menggalakkan apabila kira-kira 5,000 peserta menyertai Brisk Walk bersama ‘Tokwan’ dan menerima baju-T yang disediakan penganjur.
“Sebanyak 5,000 T-shirt telah diedarkan kepada semua peserta peserta, kawasan tapak perasmian pada hari ini dipenuhi warga Pahang, terutama masyarakat Bentong yang bersama-sama meraikan Karnival Aspirasi Pahang 1st Peringkat Daerah Bentong,” katanya.

Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail atas penyediaan Inisiatif Makmur kepada golongan petani dan penternak di negeri ini.
Beliau berkata, sebanyak RM54,700 diperuntukkan bagi membantu penerima daripada kluster petani dan penternak menerusi inisiatif berkenaan.
“Saya mewakili para petani dan penternak mengucapkan terima kasih kepada YAB Dato’ Sri Diraja Menteri Besar kerana telah menyediakan Inisiatif Makmur.
“Lebih kurang RM54,700 telah pun diagihkan bermula esok kita akan terus serahkan kepada penerima penerima sumbangan,” katanya. -PAHANGMEDIA

