Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 6 NOVEMBER 2026 : Sebanyak 123 reruai melibatkan 14 kluster industri pelancongan ditampilkan menerusi penganjuran World Islamic Tourism Conference (WITC) Mart yang berlangsung di Sultan Ahmad Shah International Convention Centre (SASICC) bermula hari ini hingga 8 November.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Puan Leong Yu Man, penganjuran tersebut merupakan antara pengisian WITC dalam usaha menghubungkan perkongsian idea berkaitan pelancongan dengan peluang perniagaan serta transaksi dalam kalangan pemain industri.

“Ini adalah sebahagian usaha untuk kita menukarkan perkongsian idea tentang pelancongan kepada transaksi, kepada perniagaan dan peluang kepada pemain industri di sini.
“Jadi untuk WITC Mart, kita ada 14 kluster dengan jumlah 123 booth yang menawarkan pelbagai pakej. Kita ada pakej pelancongan, ada umrah, makanan halal, spa, hotel, tour operators dan macam-macam lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian 5th World Islamic Tourism Conference (WITC) Mart selaku wakil rasmi, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Sultan Ahmad Shah International Convention Centre (SASICC), disini, hari ini.

Tambahnya, penganjuran WITC Mart memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan pelbagai maklumat mengenai produk pelancongan selain menikmati tawaran istimewa yang disediakan oleh pemain industri.
“Saya nampak ada juga hotel yang sudah menawarkan pakej untuk bufet Ramadhan, super early bird promotions. Jadi saya rasa ini adalah satu peluang baik untuk kita di Pahang, kita di Kuantan sini dapat menikmati pelbagai promotions dan mengetahui lebih banyak produk bukan sahaja daripada Pahang dan juga daripada luar Pahang,” katanya.
Dalam pada itu, sasaran ketibaan pelancong ke Pahang bagi tahun ini ditetapkan sebanyak 15.5 juta orang, dengan data kutipan bagi tempoh Julai hingga September kini sedang dianalisis sebelum diumumkan kelak.

“Untuk sasaran (jumlah pelancongan) kita pada tahun ini adalah 15.5 juta dan kita dah siap untuk kutipan data bagi bulan Julai hingga September, jumlahnya sekarang dalam proses untuk menganalisis data dan sampai masa kita akan umumkan.
“Tapi kita tetap mengharapkan bahawa dengan usaha promosi yang kuat dan kerjasama daripada semua pihak, sektor pelancongan di Pahang tetap relevan dan tidak akan terjejas,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya warga Pahang diseru mengambil peluang mengunjungi WITC Mart bagi mendapatkan pelbagai tawaran serta meneroka pakej pelancongan mesra Muslim yang disediakan. -PAHANGMEDIA

