Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 6 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang perlu terus meneroka pendekatan dan strategi promosi baharu bagi memastikan negeri ini kekal menjadi destinasi pilihan pelancong domestik serta antarabangsa.
YB Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, usaha mempromosikan destinasi pelancongan tidak boleh dihentikan kerana ia berisiko menyebabkan Pahang dilupakan dalam persaingan industri pelancongan.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri atas inisiatif menjadi tuan rumah Persidangan Pelancongan Islam Sedunia Kali Ke-5 (World Islamic Tourism Conference 2026 atau WITC 2026) yang menghimpunkan penyertaan dari lebih 37 negara.

Menurutnya, kehadiran pemain industri pelancongan antarabangsa memberikan pendedahan luas kepada Pahang, selain membuka peluang memperkenalkan produk pelancongan negeri ke pasaran global.
“Ini sebenarnya satu pendedahan yang sangat baik kerana mereka yang hadir merupakan pemain industri yang tugasnya mempromosikan serta mencari destinasi untuk dibawa kepada pelancong.
“Program seperti ini memberi peluang kepada Tourism Pahang memperkenalkan produk baharu dan menyegarkan semula produk lama dengan penambahbaikan yang memberikan nilai tambah kepada pengunjung,” katanya.
Beliau berkata, Pahang memiliki pelbagai tarikan pelancongan termasuk pulau, tanah tinggi, sungai, tasik serta hutan tropika tertua di dunia yang berpotensi menarik lebih ramai pengunjung.
Justeru, strategi promosi perlu sentiasa diperbaharui selaras dengan perubahan trend pasaran dan keperluan industri bagi memastikan produk serta destinasi pelancongan negeri terus mendapat perhatian.

“Kalau kita berhenti membuat promosi, orang akan melupakan kita. Sebab itu kerajaan mesti mencari jalan dan kaedah baharu untuk terus mempromosikan negeri ini,” katanya.
WITC 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula 5 hingga 6 November ini dianjurkan Pusat Pelancongan Islam (ITC), agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), dengan Kerajaan Negeri Pahang sebagai tuan rumah rasmi.
Pahang Media sebelum ini melaporkan persidangan berkenaan menghimpunkan lebih 150 peserta antarabangsa dari lebih 35 negara, selain menjadi platform memperkenalkan produk pelancongan mesra Muslim, meneroka peluang kerjasama serta membuka potensi ekonomi baharu dalam industri pelancongan.
Persidangan bertemakan Faith and Family Beyond Borders itu turut menampilkan 13 trek perbincangan strategik serta pertukaran empat Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh ekosistem pelancongan mesra Muslim dan memperluas capaian pasaran antarabangsa. -PAHANGMEDIA

