Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
PEKAN, 2 NOVEMBER 2026 : Sebanyak RM3.1 juta sumbangan wakaf berjaya dikumpulkan daripada empat penyumbang sempena Seminar Wakaf Irsod 2026 bagi menyokong pembangunan sosial, pendidikan, kesihatan dan ekonomi ummah.
Sumbangan tersebut melibatkan Masjid Tepian Putra sebanyak RM1 juta, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) RM400,000, Masjid Kampung Chendor, Kuantan RM236,000 serta penyerahan aset wakaf berupa sebuah bangunan bernilai RM1.58 juta oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).
Penyerahan yang membabitkan dua wakaf irsod dan dua sumbangan Tabung Wakaf Masjid itu disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di AnCasa Royale Pekan, hari ini.
Pengerusi UDA Holdings Berhad, YBhg. Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, pihaknya komited memperkasa pembangunan hartanah wakaf menerusi kerjasama strategik dengan institusi agama negeri serta pihak berkepentingan.
Menurut beliau, kerjasama berkenaan turut memberi pulangan kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) dalam bentuk hartanah serta kewangan bagi menyokong kebajikan dan kegiatan ekonomi masyarakat.
“Melalui Strategi Lautan Biru, UDA menggabungkan kepakaran pembangunan dengan peranan majlis agama Islam negeri dalam pemilikan dan tadbir urus aset wakaf bagi menjana manfaat ekonomi serta sosial yang mampan kepada ummah,” katanya.
Mengiringi keberangkatan tiba Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang ialah Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan.
Beliau berharap pendekatan berkenaan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerajaan negeri, agensi kerajaan dan institusi berkaitan untuk mempertimbangkan pelaksanaan wakaf irsod melalui penyerahan tanah, aset atau peruntukan kewangan.
Katanya, perbincangan sepanjang seminar itu juga dijangka menyumbang kepada pembentukan pendekatan pembangunan hartanah wakaf yang lebih tersusun di Malaysia.
“Seminar ini merupakan seminar wakaf keempat anjuran UDA yang menghimpunkan pengalaman, pengetahuan dan kepakaran amat bernilai.
“Penganjuran bersama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) serta Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang ini mempertemukan institusi agama, agensi kerajaan, pihak industri, ahli akademik serta pelajar untuk berkongsi ilmu dan pandangan mengenai pembangunan hartanah wakaf.
“Seminar ini turut membuka ruang untuk membincangkan peluang dan cabaran secara terbuka, berkongsi amalan terbaik serta membina jaringan kerjasama,” katanya.
Dalam usaha memperluas kefahaman masyarakat mengenai wakaf irsod, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) turut menyumbang menerusi penerbitan bahan rujukan bercetak berkaitan konsep serta pelaksanaannya. -PAHANGMEDIA

