Oleh : Nur Saadah Artika
KUANTAN, 2 NOVEMBER 2026 : Kejayaan anak kelahiran Temerloh, Nurul Huda Roslan meraih Anugerah Tertinggi Imam Akbar Sheikhul Azhar pada Konvokesyen Kali Ke-20 Graduan Malaysia Universiti Al-Azhar 2026 membuktikan keupayaan anak Pahang mencipta kecemerlangan hingga ke peringkat antarabangsa.
Nurul Huda, bekas pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Khairiah, Temerloh, diiktiraf sebagai antara pelajar terbaik universiti terkemuka itu dalam majlis yang meraikan hampir 300 graduan Malaysia.
Beliau yang memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang Ulum Islam kini sedang melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) di universiti berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, seramai 30 pelajar Malaysia turut menerima pengiktirafan atas kecemerlangan masing-masing dalam pelbagai bidang pengajian termasuk bahasa dan agama Islam.
“Seramai hampir 300 pelajar Malaysia diraikan dalam majlis tersebut, manakala 30 pelajar menerima pengiktirafan sebagai antara yang terbaik di Al-Azhar dalam pelbagai bidang pengajian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada majlis berkenaan yang disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Prof. Dr. Osama As Sayyid Al Azhary.
Beliau berharap kejayaan para graduan, khususnya anak Pahang, dapat diteruskan dengan sumbangan kepakaran dan ilmu dalam memperkukuh syiar Islam di tanah air.
“Semoga anak Pahang Darul Makmur khususnya dan Malaysia amnya terus berjaya serta mampu menjadi khadam agama di tanah air,” katanya.
Selain Nurul Huda, beberapa graduan lain turut menerima pengiktirafan kecemerlangan akademik, antaranya Rabiatul Adawiyah Cik Suhaimi bagi kategori Mumtaz Ma’a Martabat Syaraf Pergigian; Ahmad Al Amin Amran (Mumtaz Al-Quran dan Qiraat) serta Nurma Haji Muhammad Qaree (Mumtaz Ma’a Martabat Syaraf Syariah Islamiah).
Turut hadir, Ketua Keurusetiaan, YH Dato’ Samsul Najmi Samsudin yang juga Menteri Penasihat Pendidikan di Kedutaan Besar Malaysia di Mesir; Rektor Universiti Al-Azhar, Prof. Dr. Mahmid Shadeq Hassan serta Penasihat Sheikhul Azhar bagi Pelajar Asing merangkap Dekan Fakulti Pengajian Ulum Islamiah Al-Azhar, Prof. Dr. Nahla Sabri Soiedy.
Kejayaan Nurul Huda diharap menjadi inspirasi kepada generasi muda Pahang untuk terus mengejar kecemerlangan akademik, mendalami ilmu agama dan menyumbang kepakaran demi pembangunan ummah serta negara. -PAHANGMEDIA

