Oleh: Syafiqah Jamaluddin
Foto: Shahrizar Azdhar
ROMPIN, 1 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM90,000 bagi pelaksanaan Program Q Desa Sihat di tiga daerah tahun ini sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pengurusan ubat-ubatan secara betul, bijak dan selamat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, peruntukan itu ditingkatkan daripada cadangan asal RM30,000 bagi satu daerah susulan sokongan dan perhatian YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Menurutnya, penambahan penglibatan kepada tiga daerah membolehkan program berkenaan diperluaskan dengan lebih cepat berbanding perancangan awal yang hanya melibatkan satu daerah setiap tahun.

“Apabila saya bentangkan peruntukan RM30,000 untuk satu daerah, Menteri Besar berpandangan proses itu akan mengambil masa yang lama. Jadi, kita tambah daripada satu kepada tiga daerah untuk tahun ini supaya pelaksanaannya dapat dipercepatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Program Q Desa Sihat dan Sambutan Hari Farmasi Sedunia Peringkat Negeri Pahang 2026 di Dewan Orang Ramai Muadzam Shah, di sini hari ini.
Katanya, program anjuran Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang itu memberi tumpuan kepada pendidikan kesihatan komuniti, khususnya berkaitan dos, waktu pengambilan serta kaedah penyimpanan ubat yang betul.

Jelasnya, penggunaan ubat yang tidak mengikut aturan boleh menjejaskan keberkesanannya, manakala penyimpanan di tempat yang tidak sesuai turut berisiko mengubah kualiti ubat.
Beliau turut menggalakkan penggunaan kad perubatan yang mengandungi maklumat ubat bagi membantu pesakit, terutama warga emas dan individu yang mengambil pelbagai jenis ubat, mengelakkan kesilapan ketika mengambil ubat.
“Kadangkala ada pesakit mengambil sehingga lapan atau sembilan jenis ubat. Jadi, kad perubatan ini dapat membantu mereka mengenal pasti ubat yang perlu diambil termasuk waktu pengambilan dan sama ada sebelum atau selepas makan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berharap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi keutamaan kepada cadangan pembinaan Klinik Kesihatan di Muadzam Shah bagi mengurangkan kesesakan pesakit di hospital sedia ada.
Katanya, Muadzam Shah mempunyai kira-kira 20,000 penduduk, namun ketiadaan klinik kesihatan menyebabkan penduduk bergantung kepada hospital untuk mendapatkan rawatan, sekali gus menyumbang kepada tempoh menunggu yang lebih lama.
Menurutnya, Kerajaan Negeri telah menyediakan tanah seluas kira-kira tujuh hektar di lokasi strategik bagi pembinaan klinik berkenaan, malah cadangan itu turut diangkat sebagai antara keutamaan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang untuk perhatian kementerian. -PAHANGMEDIA

