Oleh : Syafiqah Jamaluddin
KUALA LUMPUR, 29 OKTOBER 2026 : Seramai 70 usahawan Pahang diberi peluang memperluas pasaran produk masing-masing menerusi Pahang Showcase 2.0 yang berlangsung di Bangunan MARA, Kuala Lumpur dari 28 hingga 31 Oktober ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam berkata, program itu merupakan antara usaha Kerajaan Negeri membantu usahawan mengembangkan perniagaan serta menembusi pasaran di luar Pahang dan antarabangsa.
“Pada kali ini, kita telah menawarkan ruang pameran kepada 70 usahawan di Bangunan MARA ini dengan pelbagai produk dipamerkan dan dipasarkan,” katanya.

Menurutnya, maklum balas yang diterima menunjukkan usahawan teruja dengan peluang memperkenalkan produk mereka di luar Pahang, sekali gus membuktikan kepentingan sokongan kerajaan dalam membuka akses kepada pasaran yang lebih luas.
Beliau berkata, perkembangan positif turut dapat dilihat apabila semakin ramai usahawan tempatan berani mengambil kontrak pembekalan berskala besar berbanding sebelum ini.
“Dahulu mereka bermula secara kecil-kecilan, tetapi menerusi Pahang Showcase 2.0 ini, saya dapat lihat ramai usahawan Pahang sudah berani mencuba kontrak yang lebih besar dan membekalkan produk dalam skala lebih besar,” katanya.

Beliau turut menghargai kerjasama MARA dalam membimbing usahawan meningkatkan keupayaan perniagaan, termasuk membuat persediaan untuk mengeksport produk ke pasaran antarabangsa.
Dalam sektor pelancongan, Kerajaan Negeri turut membuka peluang kerjasama dengan Tourism Korea menerusi sesi padanan perniagaan (business matching) bagi menghubungkan pengusaha pelancongan Pahang dengan pemain industri dari Korea.
Inisiatif itu diharap dapat memperluas promosi destinasi pelancongan Pahang ke peringkat antarabangsa, selain membuka peluang perniagaan baharu kepada pengusaha tempatan.

Selain itu, Kerajaan Negeri merancang memperluas program promosi usahawan ke negeri lain selepas pelaksanaan Aspirasi Usahawan di daerah-daerah Pahang hampir selesai, tertakluk kepada ketersediaan peruntukan.
Kerjasama ekonomi antara Pahang dengan Sarawak turut diperkukuh melalui jaringan perdagangan dan penambahbaikan kemudahan penghantaran produk bagi memudahkan usahawan menembusi pasaran di negeri berkenaan.
Menurutnya, usaha memperkemas jaringan logistik berpotensi memendekkan tempoh penghantaran produk ke Sarawak daripada lima hingga enam hari kepada sekitar satu hingga dua hari, sekali gus meningkatkan kecekapan pembekalan.
Beliau berharap penganjuran Pahang Showcase 2.0 dapat membantu usahawan meningkatkan kapasiti perniagaan, memperluas rangkaian pelanggan serta menjadikan produk tempatan lebih berdaya saing di pasaran domestik dan antarabangsa. -PAHANGMEDIA

