Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Fadhil Roslizan
LIPIS, 28 OKTOBER 2026: Maxis diminta menyediakan perkhidmatan rangkaian di Menara Telekomunikasi Kampung Keledek sebelum 1 Disember ini bagi menyelesaikan isu capaian telekomunikasi yang dihadapi Sekolah Kebangsaan (SK) Keledek dan penduduk setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, perkara itu dikenal pasti menerusi pemeriksaan di menara telekomunikasi berkenaan sempena Jelajah Aspirasi Pahang1st DUN Jelai.
Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), perkhidmatan Maxis sebenarnya masih belum disediakan di menara berkenaan, sekali gus menjelaskan kekeliruan yang timbul sebelum ini.

“Saya minta Maxis menyediakan perkhidmatan di Menara Telekomunikasi Kampung Keledek dalam tempoh sebulan ini, iaitu sebelum 1 Disember, supaya kemudahan rangkaian dapat dinikmati pengguna dan penduduk kampung, termasuk warga SK Keledek yang menggunakan akses Maxis.
“Isu ini sudah lama berlarutan kerana mereka menyangka perkhidmatan Maxis telah tersedia di menara berkenaan. Berdasarkan maklumat daripada MCMC, perkara itu tidak tepat.
“Jadi, kita betulkan keadaan ini. Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya mahu memastikan isu ini diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Jelajah Aspirasi Pahang1st DUN Jelai yang turut merangkumi pemeriksaan kemudahan telekomunikasi, pertemuan bersama golongan muda serta penyampaian bantuan kepada penduduk setempat.
Penyediaan perkhidmatan berkenaan penting bagi memastikan penduduk dan warga sekolah mendapat akses komunikasi yang diperlukan, khususnya untuk urusan pembelajaran dan aktiviti harian.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menyampaikan bantuan bakul makanan sumbangan PETRONAS menerusi inisiatif Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada lebih 36 penerima di Bukit Betong.
Program diteruskan dengan aktiviti sukan bola sepak bersama golongan muda Bukit Betong, selain pertemuan bersama anak muda di Kampung Tanjung Gahai pada sebelah malam. -PAHANGMEDIA

