RAUB, 26 OKTOBER 2026 : Padang FELDA Lembah Klau, Raub kini dilengkapi kemudahan lampu limpah, sekali gus menjadikannya padang kampung pertama di Pahang yang mempunyai kemudahan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, kemudahan itu direalisasikan hasil kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang bagi memenuhi hasrat beliau serta penduduk setempat.

Menurut beliau, kemudahan lampu limpah itu membolehkan penduduk menjalankan pelbagai aktiviti sukan dan kemasyarakatan pada waktu malam dengan lebih selesa.
“Selain itu, kemudahan berkenaan turut membuka peluang kepada penduduk setempat untuk menjana ekonomi dan menambah pendapatan melalui pelbagai aktiviti yang boleh dilaksanakan di padang tersebut,” katanya.

Beliau berharap kemudahan itu dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti yang lebih aktif, sejahtera dan berdaya maju, sekali gus membawa manfaat kepada seluruh penduduk FELDA Lembah Klau.
Penggunaan padang pada waktu malam juga dijangka memberi lebih banyak ruang kepada masyarakat setempat untuk mengamalkan gaya hidup aktif serta mengeratkan hubungan silaturahim melalui aktiviti bersama. -PAHANGMEDIA

